Pengalaman berharga Natasha dalam filem Tipu Kanan Tipu Kiri

Diterbitkan: Jumaat, 3 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKAN mudah untuk bekerjasama dengan tenaga kerja dari luar negara, namun kesempatan mempelajari tarian dan nyanyian melalui pakar dari India memberikan pengalaman berharga buat diri pelakon Natasha Hudson melalui filem terbarunya, Tipu Kanan Tipu Kiri.

Filem tersebut bakal menemui penonton pada 16 Oktober ini di seluruh pawagam tanahair yang turut membariskan pelakon Indonesia Christian Sugiono, Titi Kamal, Catherine Wilson, Irene Kleefstra, pelakon Malaysia Hans Isaac, Azwan Ali, Sazzy Falak dan Fauzi Nawawi.

Kata Natasha, filem ini ibarat filem tiga negara kerana kelainannya berbanding filem yang sedia ada sebelum ini. Kelainannya bukan sahaja dari segi bahasa dua negara yang digunakan iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia malah ia juga menggunakan sepenuhnya krew yang didatangkan dari India.

"Lakonan saya juga berlainan daripada sebelum ini di mana saya bukan sahaja berlakon tetapi saya juga perlu menyanyi dan menari. Filem ini memberikan pengalaman yang bermakna dan berharga buat saya.

"Bayangkan saya telah diajar oleh jurulatih yang mengajar pelakon Bollywood Aishwarya Rai dan Shah Rukh Khan menari. Saya juga dapat bekerja dengan orang yang 100 peratus membuat lagu dari Bollywood. Semua pengalaman tersebut menyeronokkan!" beritahu Natasha dengan nada gembira mengenai filem keduanya itu.

Filem pertama Natasha adalah Chermin.

Natasha telah menyanyikan sebuah lagu iaitu Mask Party untuk lagu runut bunyi filem Tipu Kanan Tipu Kiri.

Bercerita mengenai pengalamannya menyanyi dalam filem terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. dengan kerjasama Tarantella Pictures LLC ini, Natasha berkata dia memang minat menyanyi sejak kecil lagi.

"Saya suka sangat apabila dapat menyanyi melalui filem ini dan mendapat sokongan daripada Allahyarham Loloq yang menulis lirik lagu tersebut," tutur Natasha lagi.

Dalam filem arahan Sharad Sharan ini, Natasha memegang watak Sarah iaitu gadis yang terpaksa berlakon sebagai isteri Rudy (Christian Sugiono) buat satu malam. Namun, tidak lama kemudian Rudy terperangkap terperangkap dalam jerat penipuan dan terpaksa menyorokkan kebenaran dari semua orang dalam hidupnya. Terjadilah kekeliruan, suasana kelam kanut dan situasi lucu.

Semuanya gara-gara Rudy berkahwin dengan seorang penyanyi terkenal Indonesia dan seluruh Asia iaitu Wulan (Titi Kamal).

Malangnya, di dalam syarat-syarat kontrak Wulan dengan syarikat rakamannya, dia tidak dibenarkan berkahwin.

Melihat lakonan pelakon berusia 26 tahun ini dalam filem tersebut, Natasha begitu lancar berbahasa Indonesia dan tidak kekok langsung untuk menggunakan bahasa tersebut.

Rasanya Natasha memang bertuah kerana menurutnya, dia mudah bertutur menggunakan bahasa asing itu kerana ibunya mempunyai darah Indonesia dan dia sudah terbiasa mendengar bahasa tersebut.

"Lagipun, semasa di lokasi pengambaran, saya selalu bercakap dengan pelakon Indonesia menggunakan bahasa Indonesia," ucap pelakon yang turut mempunyai kacukan Melayu dan Australia ini.

Bertanya tentang penerimaan Natasha selepas menonton filem tersebut, katanya:

"Apa yang saya jangkakan menjadi kenyataan tetapi saya cuma tidak berpuas hati apabila banyak babak saya dan Titi ketika melakukan persembahan konsert yang telah dipotong. Saya lebih suka kalau babak tersebut dipanjangkan."

Saksikan filem Tipu Kanan Tipu Kiri di pawagam mulai 16 Oktober ini!

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan