'Kesyukuran Dalam Kemeriahan' bersama TV3 sempena Syawal

Diterbitkan: Selasa, 30 September 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SETELAH sebulan berpuasa, kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bertemakan ’Kesyukuran dalam Kemeriahan’ TV3 mengajak penonton-penonton setianya agar sentiasa bersyukur sambil menyambut kemeriahan Aidilfitri.

Di kesempatan ini, stesen televisyen swasta nombor satu itu mengajak penonton-penontonnya untuk meraikan Aidilfitri dengan meneruskan tradisi kunjung-mengunjung ke rumah saudara-mara dan sahabat handai di samping saling bermaaf-maafan.

Sambil bergembira di samping orang tersayang penonton juga diseru agar bersyukur menikmati kurniaan Ilahi.

"Tema Kesyukuran Dalam Kemeriahan dipilih untuk meraikan kedatangan Ramadan dan Syawal pada tahun ini bagi mengingatkan dan memberi kesedaran kepada kita semua agar sentiasa bersyukur dengan kenikmatan dan kesenangan yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t dalam kemeriahan kita menyambut Aidilfitri.

"Kami juga menggalakkan penonton agar menyambut kedatangan Syawal ini dengan bersederhana dan tidak membazir.

"Di samping itu, kita juga haruslah tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik dan mereka yang serba kekurangan agar dapat sama-sama menyambut Aidilfitri dan merasai kemeriahannya," ujar Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin.

Bersempena dengan kedatangan Syawal ini juga, TV3 turut menjalankan Kempen Balik Beraya Bersama TV3.

Kempen ini merupakan satu inisiatif untuk TV3 mendekati orang ramai terutama penonton setia TV3 yang telah lama menyokong TV3 dan pada masa yang sama membuat kebajikan sempena bulan yang mulia ini.

Kempen ini menyaksikan 400 penonton bertuah berpeluang pulang ke kampung halaman dengan ditaja oleh TV3 melalui “Kuiz Balik Beraya Bersama TV3” dalam program Malaysia Hari Ini (MHI) dan Wanita Hari Ini (WHI) yang disiarkan mulai 10 hingga 22 September lalu.

Sebanyak 10 bas memaparkan wajah personaliti-personaliti TV3 bersertakan dengan tema dan look & feel raya 2008 telah digunakan untuk perjalanan ke lokasi-lokasi seperti Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Selain dari itu, memeriahkan sambutan Aidilfitri kali ini turut dirasai terutama kepada pemandu-pemandu yang ingin pulang menyambut Hari Raya di Kampung. Ini kerana team My TV3 bersama Caltex berada di perhentian tol sekitar Lembah Klang bagi mengagihkan ‘Angpau Raya’ dan juga kuih-muih Raya kepada pemandu-pemandu yang melalui tol tersebut.

Antara perhentian tol yang terlibat termasuklah Perhentian Tol Damansara (27 September) dan Perhentian Tol Sungei Besi (28 September).

Team My TV3 dan Caltex akan sekali lagi menyambut kepulangan pemandu-pemandu pulang semula dengan selamat ke Lembah Kelang apabila sekali lagi menyambut mereka di Perhentian Tol Sungei Besi (11 Oktober) dan Perhentian Tol Shah Alam (12 Oktober)

Sambil bergembira di samping orang tersayang dan menikmati juadah raya, jangan ketinggalan untuk berhibur dengan sajian-sajian menarik khusus untuk penonton-penonton setia TV3 sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Para penonton bakal disajikan dengan pelbagai aneka ragam masyarakat menerusi filem, telemovie dan program-program hiburan dan jenaka.

TV3 telah menyusun dengan teliti program-program bagi memastikan hanya yang terbaik untuk ditayangkan sempena dengan Aidilfitri bagi menepati cita rasa penonton.

Kebanyakan program tersebut mempunyai keistimewaan dan mesej yang tersendiri.

Berikut ialah program-program istimewa sempena Aidilfitri sepanjang bulan Syawal ini:-

RAYA MOVIE

Nana Tanjung 2 – Raya Pertama, 1 Okt, 9.00mlm

Nana Tanjung 2 menyingkap tentang kesinambungan kisah Nana Tanjung, yang mengisahkan tentang kehidupan anak-anak Nana Kassim yang berubah apabila pelbagai cerita timbul mengenai hubungan anak perempuannya dengan bakal suami.

Nana yang mendengar tohmahan jiran (lakonan Azean Irdawati) memutuskan untuk mengenakan syarat kepada bakal menantunya dan tidak membenarkan bakal menantunya bertemu dengan anak-anak gadisnya sehingga majlis akad nikah dilangsungkan.

Syarat tersebut menyebabkan Akhbar Khan (lakonan Saiful Apek) dan Zul (lakonan Jehan Miskin) mencari pelbagai pendekatan dan helah untuk mendampingi anak-anak Nana Tanjung, sehinggalah timbul masalah dan konflik lain dalam hidup ahli keluarga Nana Tanjung.

Menerusi syarat dan konflik baru yang bakal timbul dalam Nana Tanjung 2 ini akan menyaksikan banyak sub plot yang disajikan dalam bentuk komedi.

Pelakon: Saiful Apek, Fasha Sandha, Waheeda, Jehan Miskin, Azean Irdawaty, Saffi Jaafar

Otai – Raya Kedua, 2 Oktober, 9 malam

Kisah dimulakan apabila Aiman (Saiful Apek) yang sudah mempunyai seorang isteri Azura (Nasha Aziz) yang telah berkahwin selama tiga tahun dan tidak dikurniakan anak. Aiman dan Azura telah mendapat tekanan dari ayah Aiman, Tan Sri Mansur (Saleh Yaakob) iaitu, jika Aiman dan isterinya tidak mendapat zuriat dalam tempoh setahun, seluruh harta bendanya akan diwariskan kepada rumah anak yatim.

Setelah menjalani pemeriksaan Azura disahkan mengalami masalah peranakan yang tidak memungkinkan dia mengandung. Maka Azura terpaksa merelakan Aiman berkahwin lagi seorang tetapi mestilah memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Azura dan ibunya (Azean Irdawaty). Aiman berpakat dengan Sammy supaya mencari Mawar (Faeza) bekas kekasihnya untuk menjadi calon isteri lalu diubah penampilan Mawar supaya menjadi kurang cantik yang akhirnya telah dipersetujui oleh Azura.

Berjayakah Aiman memperisterikan Mawar? Dapatkah Aiman mewarisi harta Tan Sri Mansur? Semuanya akan terjawab pada 2 Syawal di TV3.

Pelakon: Saiful Apek, Yassin, Nasha Aziz, Saleh Yaakob, Azean Irdawaty, Maimon Talib, Ainul Aishah

Dunia Baru The Movie – 3 Syawal, 3 Oktober, 9 malam

Filem ini bermula apabila Opie (Elyana) mendapat kejutan melalui surat yang ditulis oleh Anizah (Anita Baharom) menyatakan hasratnya untuk ke Thailand dan kahwin lari dengan Fazley (Mohd Hafiz). Menurut kandungan surat itu, Anizah begitu nekad hingga sanggup melepaskan tawaran melanjutkan pelajaran di UK.

Perkara ini mengusarkan teman-teman rapatnya iaitu Opie, Madihah (Ann Ngasri), Suzanna (Almy Nadia), Adif (Pierre Andre) dan Tajol (Wan Elyas). Mereka berpakat untuk mengejar Anizah dan mengubah fikirannya.

Pengembaraan pencarian Anizah merupakan suatu perjalanan yang semakin lama semakin kecoh dan berperistiwa, membuat penonton teruja khasnya pengikut setia siri Dunia Baru - kisah geng kolej paling popular di Malaysia.

Pelakon: Elyana, Pierre Andre, Iqram Dinzly, Anne Ngasri, Anita Bahrom, Baizura Kahar, Almy Nadia

Cinta – raya kelima, 5 Oktober, 9 malam

CINTA, jalinan lima cerita yang meraikan keajaiban cinta. Harris (Rashidi Ishak) ada segala-galanya: isteri jelita, anak dan karier. Dia bahagia sehinggalah isterinya, Airin (Rita Rudaini) mengakui dia mencintai lelaki lain. Dan, Airin tidak mahu terus hidup dalam pembohongan. Dyan (Nanu) mengubati hati yang sepi dengan cuba merubah hidup adiknya, Dhani (Que Haidar), seorang pelukis jalanan.

Ariel (Sharifah Amani) menjejaki cintanya, dibantu Taufiq (Pierre Andre), seorang wartawan muda. Hati Taufiq mula tertawan, namun Ariel ada rahsia tersemat. Elyas (Datuk Rahim Razali), pesara guru, menghabiskan sisa hidup yang dibelenggu penyakit Alzheimer.

Pada Rubiah (Fatimah Abu Bakar), pemilik restoran, Elyas beroleh ketenangan. Dan Rubiah, mungkinkah perasaan itu berkekalan? Azlan (Eizlan Yusof) dan Azura (Fasha Sandha), dua dunia berbeza. Seorang, pemilik syarikat penerbitan dan menjadi buruan gadis.

Seorang lagi, seorang pembantu kedai buku. Bisakah hati bertaut? 5 cerita cinta, berlatar kota metropolitan Kuala Lumpur, mencipta babak membuai rasa dan pesona, tapi peperangan dengan diri sendiri lebih dulu harus ditempuhi dalam pencarian cinta sejati.

Pelakon: Fasha Sandha, Rita Rudaini, Nanu Baharuddin, Sharifah Amani, Fatimah Abu Bakar, Pierre Andre, Eizlan Yusoff, Rashidi Ishak, Dato' Rahim Razali

Rempit vs Impak Maksima – 7 Oktober, 9 malam

Shariman dan Bani berkawan baik sejak kecil dan mereka datang dari keluarga susah. Shariman tinggal bersama ibunya Mak Tam manakala Bani merupakan seorang yang yatim piatu. Mereka mempunyai minat yang sama iaitu berlumba motor. Bani telah menganggap Mak Tam seperti anaknya sendiri. Seperti remaja lain, Shariman dan Bani menghabiskan masa dengan berlumba haram.

Satu hari, Shariman mendapat peluang yang merubah hidupnya. Dia ditawarkan untuk menjadi pelumba kereta professional. Setika Shariman berjaya dalam dunia berlumbaan Bani pula masih menjadi ‘Mat Rempit’. Shariman mahu berkongsi kejayaannya dengan Bani dan Mak Tam tetapi mereka salah faham akan niatnya.

Apabila Bani terlibat dengan pergaduhan, Shariman menawarkan Bani kerja di bengkelnya dan pada masa yang sama dia cuba memujuk mak Tam untuk tinggal bersamanya. Segala-galanya berjalan lancer sehinggalah muncul seorang gadis bernama Fifi. Fifi datang dari keluarga kaya dan sejak ibunya meninggal dia sering terlibat dengan perlumbaan haram yang diketuai oleh bekas kekasihnya, Jogo.

Tanpa pengetahuan Bani, Shariman jatuh cinta dengan Fifi pada pandang pertama. Bani kecewa dan menganggap Shariman telah mempergunakannya. Keadaan bertambah buruk apabila Jogo menggunakan Bani untuk berlumba dengannya. Mampukan Bani mengalahkannya?

Pelakon: Awal Ashaari, Zulhuzaimy, Fauzi Nawawi, Jue Aziz, Hafiz, Maimom Mutalib, Jalaluddin Hassan, Wati Elite, Anis Suraya

Waris Jari Hantu – 8 Oktober, 9 malam

Tina dan Ari berkawan baik, dan bersaudara dengan Tok Wan Rimau, penjaga harimau saka keluarga Tina, yang sedang mencari waris perempuan untuk menurunkan ilmu sakanya. Tok Wan dan harimau saka melindungi keluarganya dan Pekan Mendekar dari bahaya.

Ari sering diejek oleh penduduk kampung dengan gelaran ‘Mat Kepit’, atau ‘Mat Patah’. Walaupun begitu, Tina setia berada di sisi Ari, malah menyimpan perasaan cinta yang mendalam terhadap Ari, dan berharap akan berkahwin dengannya satu hari nanti.

Ari memendam rasa luka yang mendalam disebabkan ejekan-ejekan itu, lantas menyembunyikan dirinya untuk melupakan realiti yang pahit melalui persahabatannya dengan Tina. Walaupun dihalang keras oleh keluarga, ternyata Tina pilihan Tok Wan untuk menjadi pewaris saka.

Pelakon: Maya Karin, Rusdi Ramli, Azean Irdawaty, Nanu Baharuddin, Liza Othman, Kavita Sindhu, Zahim Albakri, Riezman Khuzaimie, Rashid Salleh, Zaidi Omar, Jit Murad

Qabil Khushry Qabil Igam – 9 Oktober, 9 malam

Sebuah kisah cinta yang berkisah tentang dua orang adik-beradik bernama Qabil Khushry dan Qabil Igam, anak kepada Ismail dan Tijah. Qabil Khushry amat sayang akan adiknya semenjak dari adiknya di dalam kandungan ibunya.

Ketika dewasa, Rani jatuh hati kepada Khushry manakala adiknya, Karisma memuja Igam walaupun pada awalnya Karisma tidak dapat menerima kenalan Igam. Bagaimanapun, kerana satu kesilapan, mereka sekerluarga bagaikan tersepit, lalu satu keputusan terpaksa dibuat yang membabitkan satu pergorbanan yang besar

Pelakon: Hans Issac, Rusdi Ramli, Erra Fazira, Ziana Zain, Khatijah Tan

Ayat-Ayat Cinta – 10 Oktober, 9 malam

Fahri bin Abdillah merupakan seorang pelajar pintar dari keluarga miskin yang mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar di Mesir. Dia yang merupakan seorang berdisiplin dan berdedikasi memulakan kehidupan di Mesir melanjutkan pelajaran dan menterjemah buku-buku agama dengan penuh bersemangat. Hanya satu sahaja matlamat yang belum tercapai iaitu perkahwinan.

Fahri yang merupakan seorang yang lurus dan suci tidak percaya pada konsep perhubungan sebelum berkahwin. Dia sukar meluahkan perasaan dan pemalu dengan Wanita. Dalam hidupnya, cuma ada dua orang Wanita yang rapat dengannya iaitu emak dan neneknya. Namun, hidupnya berubah apabila dia didampingi empat gadis jelita yang berbeza.

Pelakon: Fedi Nuril, Carissa Putri, Melanie Putria, Zaskia Adya Mecca, Rianti Cartwright

TELEMOVIE RAYA

Mengejar Sinar – Menjelang Raya, 30 September, 9.30 malam

Taufik berhenti kerja setelah mengambil VSS dari pejabat tempat dia bekerja. Isterinya, Mariam risau kerana dia sedang mengandung anak kedua selepas 8 tahun tidak mengandung. Satu hari ketika Taufik keluar mencari kerja, Mariam mengalami komplikasi.

Dia menghubungi Taufik namun telefon bimbitnya tertinggal. Apabila pulang, Taufik mendapati Mariam telah meninggal dunia. Taufik tiada upaya untuk meneruskan kehidupannya dan dia mengabaikan anaknya Ain. Keadaan menjadi lebih buruk apabila dia tidak membayar semua bil dan terpaksa berpindah keluar dari rumah.

Dia hanya menggunakan wang VSSnya tetapi tidak berjaya mendapatkan pekerjaan. Akhirnya, dia tidak mampu membayar sewa rumahnya dan sekali lagi terpaksa keluar dan tinggal di motel murah. Namun, dia sekali lagi tidak mampu membayar sewa dan akhirnya terpaksa hidup di jalanan dan mengharap simpati dari pejalan-pejalan kaki di sepanjang jalan.

Satu hari, ibu mertuanya terjumpa Ain dan membawanya pulang. Taufik pergi mendapatkan anaknya dan merayu ibu mertuanya untuk memulangkan Ain, namun dia menyalahkan Taufik kerana tidak mampu menjaga Ain. Dapatkah Taufik bersatu kembali dengan anaknya?

Pelakon: Rosyam Nor, Erma Fatima, Maimun Mutalib, Fauziah Nawi, Ismail Yaacob, Aziz M Osman Sumur Kasih – Raya Pertama, 1 Oktober, 11 pagi

Laila, seorang ibu kepada Arafat (15 tahun), Noreen (13 tahun) dan Fathi (10 tahun) yang tidak pernah berjumpa bapa mereka sejak 9 tahun. Malik, suami Laila meninggalkan Laila dan anak-anaknya untuk berkahwin lain.

Walaupun Malik meninggalkan Laila tanpa khabar Berita, Laila masih mengharapkan kepulangan Malik. Namun setiap kali raya dia akan kecewa apabila Malik tidak muncul. Laila bagaimanapun menerima wang yang dikirim oleh Malik setiap bulan. Dia juga tahu di mana Malik tinggal namun Malik melarangnya datang melawat.

Satu pagi raya, Arafat menyuarakan hasrat untuk melawat ayahnya. Namun Laila melarang kerana dia takut Malik enggan menerima mereka. Namun, Arafat yakin bahawa ayah mereka akan menerima mereka dan dia kemudiannya membawa adik-adiknya menaiki bas untuk berjumpa dengan ayah mereka.

Apabila sampai, Rima, isteri baru Malik menyambut mereka dan menyangka mereka datang hendak mengumpul duit raya. Mereka terdengar suara Malik dan terkejut melihat Malik buat kali pertama. Dapatkah Malik menerima mereka?

Pelakon: Rozie Rashid, Eric Fuzi, Afiqah Malek, Raihan Kamal Bakar, Zamarul Hisham, Sh. Norhaslinda, Wan Elyas

Potret Aidilfitri – raya kedua, 2 Oktober, 11 pagi

Telemovie ini mengisahkan Yahya Azlan, seorang peniaga yang terpaksa memilih untuk menggunakan duitnya pelaburan atau untuk pembedahan anak perempuannya. Dia memilih melaburkan duitnya dengan harapan agar keuntungannya nanti digunakan untuk merawat anaknya.

Malangnya, anaknya meninggal dunia sebelum sempat dia membuat keuntungan. Sejak itu tiada keceriaan lagi di rumahnya. Isterinya Hamidah yang dulunya gemar membuat kebajikan kini telah berubah kepada seorang yang pemarah. Dia tidak dapat memaafkan Yahya di atas kematian anak mereka.

Dia juga menyuruh seorang lagi anak mereka untuk memulaukan Yahya. Yahya kecewa dengan keluarganya dan mengalami kemurungan yang menjadikannya seorang yang pendiam. Dia tidak pulang ke rumah dan lebih selesa tidur di masjid. Satu hari, Jamani, seorang lagi anak Yahya yang tinggal di Dumai pulang ke rumah. Hamidah memberitahu Jamani ayahnya menghilangkan diri sejak kematian adiknya. Mereka telah mencari ayahnya namun gagal.

Setiap kali Jamani bertanya mengenai ayahnya kepada emak dan adik-adiknya yang lain, Jamani mendapat jawapan yang berbeza. Dia merasakan ada sesuatu yang tersembunyi di atas kehilangan bapanya. Dapat dia menjumpai bapanya semula?

Pelakon: Shukery Hashim, Aida Radzwill, Azhar Sulaiman, Siti Fazurina, Ezany

Takdir Sedang Berbisik – raya ketiga, 11 pagi

Kemalangan yang menimpa Husin mengubah kehidupan yang baru dibinanya bersama Maimon. Husin lumpuh dan kehilangan pekerjaan. Maimon cuba mengugurkan kandungannya tetapi gagal. Maimon yang tidak pernah hidup susah terpaksa membantu Mak Piah menoreh getah. Ditakdirkan Pak Akob meninggal ketika sedang solat di masjid. Bertambah susah lah kehidupan Mak Piah sekeluarga.

Husin bersimpati dengan ibu dan isterinya tetapi dia tidak berdaya. Maimon selalu bersungut dan marah-marah dengan nasib yang menimpanya. Mak Piah hanya bersabar dengan kerenah menantunya.Kadir kekasih lama Maimon mula menggoda Maimon dan memberinya wang. Keadaan Husin menjadi senjata untuk Kadir menghasut Maimon. Husin perasan Kadir menaruh hati kepada isterinya.

Maimon terus menjalin hubungan tanpa pengetahuan Kadir. Mak Piah tahu apa yang dilakukan menantunya. Mak Piah minta Husin ceraikan Maimon, tetapi Husin enggan. Maimon makin berani melawan Husin. Maimon belajar menjahit dan sering pulang lewat malam. Maimon langsung tidak mahu menjaga anaknya. Mak Piah menjaga Husin dan anaknya dengan bantuan Mastura, anak Mak Yam yang sedang belajar tahun akhir di universiti. Apakah yang berlaku selanjutnya?

Pelakon: Rosyam Nor, Umie Aida, Fauziah Nawi, Faizal Hussein, Ummi Nazera, Ku Faridah Ku Syafie, Bobby Hazreen, Latiff Borgiba, Maimunah Ahmad, Maimun Talib

Pelita Buluh – Raya Keempat, 10.00mlm

Ina harus mencari ibu kandungnya kerana bapanya sedang mengidap ashma. Dia mendapat tahu yang neneknya Engku Zubaidah tidak membenarkan bapanya Engku Imran berkahwin dengan Anum, seorang gadis kampung. Anum kini tinggal di rumah orang-orang tua kepunyaan kawan Ina, Farid.

Anum sendiri pernah cuba mencari anaknya tapi gagal. Secara kebetulan, Ina dan Anum selalu berjumpa di rumah orang-orang tua dan Anum sering bercerita tentang kisah lampaunya. Anum suka menyalakan pelita buluh ketika raya kerana dia mempunyai memori yang tersendiri.

Kisah yang diceritakan oleh Anum hampir sama dengan kisah yang diceritakan oleh nenek Anum. Dia merasakan bahawa Anum adalah ibunya dan cuba memujuk Anum untuk bertemu semula dengan ayahnya. Namunj, Anum menolak kerana dia masih ingat bagaimana Engku Zubaidah telah melayannya dan memaksa Engku Imran berkahwin dengan Engku Mariah.

Engku Mariah merupakan seorang yang sombong dan enggan menjaga Engku Imran setelah lumpuh. Kini segala-galanya terserah kepada Ina untuk menyatukan kedua orang tuanya. Berjayakah dia?

Pelakon: Azean Irdawaty, Azizah Mahzan, Nasir Bilal Khan, Norlia Ramly. Elly Mazlin, Fahrin Ahmad, Ogy Ahmad Daud

BEST OF MAGAZINE

Iktibar Tragedi 3 – 4 Oktober, 7 mlm

Iktibar Tragedi 3 merupakan sebuah dokumentari yang menyingkap pelbagai kisah tragedi yang mengorbankan jiwa atau menyebabkan kecacatan sepanjang hayat.

Tujuan dokumentari ini adalah untuk memberi kesedaran, pengajaran dan panduan kepada orang ramai mengenai tragedi berkenaan. Dokumentari ini akan memaparkan perkembangan terkini ahli keluarga dan menyelami perasaan kehilangan keluarga tersayang menjelang Aidilfitri.

Memo Dari Suriname – 5 Oktober, 6 petang

Republik Surinam merupakan sebuah negara di Amerika Selatan, bekas jajahan Belanda turut dihuni oleh masyarakat Melayu Islam berasal dari Tanah Jawa, Semenjung Malaysia dan Sarawak. Mereka dibawa oleh Belanda ke negara tersebut sebagai ‘buruh berhutang’ sekitar tahun 1870-an.

Sempena Aidilfitri, Memo dari Suriname memaparkan cara masyarakat melayu di negara itu menyambut Ramadan dan Aidilfitri dan mengungkap keinginan mereka menjejak kaki di negara asal nenek moyang.

Perjalanan Kami Bersamamu – 5 Oktober, 7 malam

Program ini akan memaparkan perjalanan krew Bersamamu meninjau kembali keluarga yang pernah dipaparkan sebelum ini. Ia juga turut memaparkan penceritaan suka-duka dua artis jemputan iaitu Rosyam Nor dan Nanu Baharuddin bersama Penerbit Eksekutif Mazlin Nordin semasa penggambaran Bersamamu suatu ketika dahulu.

Sepanjang perjalanan ini, kita akan menyaksikan perubahan yang berlaku terhadap keluarga-keluarga berkenaan serta persiapan mereka menyambut Aidilfitri.

Antara keluarga yang dikunjungi semula termasuklah keluarga Siti Rokiah dari Bachok Kelantan, keluarga Noraini Ismail dari Tumpat Kelantan, keluarga Maini Kudat dari Kuching Sarawak dan keluarga Serinang Subi dari Beranang Selangor.

Keringat Metropolitan – 6 Oktober, 1 tengah hari

Dokumentari ini memaparkan kisah pendatang asing yang memerah keringat di bumi Malaysia dengan pelbagai kerja seperti orang gaji, buruh binaan, pekerja ladang dan pengawal keselamatan.

Mungkin ada antara mereka yang pernah membina bangunan pencakar langit atau mercu tanda di Malaysia untuk menyara keluarga di tanah air masing-masing. Ada antara pendatang mampu membina rumah besar dan hidup mewah di Negara sendiri hasil keringat mereka di kota Metropolitan di Malaysia.

Linangan Syawal – 7 Oktober, 1 tengah hari

Dokumentari satu jam ini memaparkan individu atau keluarga yang menyambut Syawal dengan linangan air mata kerana tidak dapat menahan peristiwa yang menimpa dan terus mengharap sesuatu yang belum pasti.

Dengarkanlah rintihan seorang warga tua yang mengharapkan kehadiran anak lelaki yang menghantarnya ke rumah orang tua-tua, seorang wanita yang sedang bertarung dengan penyakit barah serta keluarga Sharlinie yang masih mengharapkan kepulangannya.

Nostalgia Lagu Raya – 8 Oktober, 1 tengah hari

Program bercorak semi-dokumentari menyelurusi siapakah composer, penulis lirik dan penyanyi-penyanyi lagu raya yang menjadi kegemaran dan siulan orang tua hinggalah kanak-kanak dari dulu hingga kini.

Dengarkan lagu-lagu ‘evergreen’ dan saksikan temubual orang di sebalik lagu-lagu ini dan bagaimana terciptanya ilham untuk mencipta lagu tersebut.

BEST OF MUSICAL

Teratak Siti Nurhaliza – Raya Pertama, 1 Oktober, 10pagi

‘Teratak Siti Nurhaliza’, merupakan satu program muzikal yang pastinya dinantikan oleh peminat-peminat penyanyi tersohor tanahair yang bakal dikendalikan oleh beliau sendiri.

Program 60 minit ini akan menyaksikan Dato’ Siti Nurhaliza mendendangkan lagu-lagu popular tradisional dan juga terkini yang menjadi kegilaan ribuan peminat beliau dengan diiringi oleh pemuzik-pemuzik professional yang dipimpin oleh Faizal Uzir.

Program muzikal ini berkonsepkan fusion tradisional dan moden di mana kedua elemen ini digabungkan untuk mendapatkan konsep irama tersendiri sekaligus menjadikan program ini unik dan berbeza dari persembahan Dato’ Siti Nurhaliza sebelum ini.

Bukan itu sahaja, turut memeriahkan rancangan ini, Dato’ Siti Nurhaliza juga menjemput adik-beradik beliau iaitu Siti Saida dan Siti Saerah untuk bersama-sama membuat persembahan dengannya buat julung-julung kalinya di kaca televisyen.

GhazalRock – Raya Kedua, 2 Oktober, 10 pagi

“GhazalRock” merupakan satu program muzikal ‘lain dari yang lain’ yang pastinya akan menambat hati para peminat penghibur tanahair. Artis-artis popular seperti Ning Baizura, Faizal Tahir, Anuar Zain, Ella dan kumpulan rock, Jinbara yang dipertemukan dalam program khas Raya ini.

Bersiaran selama 60 minit, program ini akan menyaksikan para artis jemputan mendendangkan lagu tradisional termasuklah lagu-lagu kontemporari yang kekal popular, masih diminati ramai dengan diiringi oleh alunan muzik daripada kumpulan Jinbara sendiri bersama pancaragam ghazal.

BEST OF VARIETY

Ewah-Ewah Raya (Bhg 1) – Raya Pertama, 1 Oktober, 4.30 petang Ewah-Ewah Raya (Bhg 2) – Raya Kedua, 2 Oktober, 4.30 petang

Program yang berkonsepkan muzikal & game show ini menampilkan gabungan 4 pengacara hebat iaitu Raja Azura, Nabil, Shamsul Ghau Ghau dan Amyza Adnan yang pastinya bakal mencuit hati anda. Manakala artis yang membuat persembahan dan menyertai game show ini bersama penonton terdiri daripada Fabulous Cats, Mas Idayu, M. Daud Kilau, Faradiya, Danny X-Factor dan Mila.

Game show ini dibahagikan kepada 3 segmen, Cabaran Penonton, 5 Round Up Game dan Pusingan Bonus. Untuk Cabaran Penonton, para penonton akan diberikan peluang menyertai cabaran ini untuk memenangi pelbagai hadiah yang menarik.

Antara cabaran yang harus diselesaikan termasuklah membuat ketupat, memakai baju melayu, makan ketupat dan rendang, mengalihkan ketupat dan juga menjawab soalan-soalan berkaitan Hari Raya.

Setahun Sekali Lagi Raya – Raya Pertama, 1 Oktober, 5.30 petang

Program ini menghidangkan 10 cerita atau segmen pendek yang merangkumi cerita lucu, sedih, dan gembira yang berlaku di sekitar kemeriahan Hari Raya. Saksikan gelagat orang ramai apabila mereka terpaksa berhadapan dengan wanita kurang siuman dan gadis selekeh yang merayau-rayau dan merayu orang ramai meminta wang tanpa mereka sedari bahawa wanita dan gadis tersebut sebenarnya seorang pelakon popular.

Bagaimanakah jika Nas Ahmad yang popular dengan gelaran ‘Abg Terjah Melodi’ apabila tua nanti? Saksikan program satu jam ini yang turut menampilkan Rosyam Nor, Raja Azura, Azean Irdawaty, Sofaz, Winnie K, Marsha, Butterfly, Dr. Fazley, Lan Pet Pet, dan ramai lagi

Bagus Sangat Ke? – Raya Kedua, 2 Oktober, 9 pagi

Program berkonsepkan ‘game show’ berjudul “Bagus Sangat Ke?” akan ditayangkan di TV3 pada 2 Oktober 2008, jam 4.30 petang sempena Aidilfitri yang bakal menjelang.

Program yang akan menemui penonton selama satu jam ini menampilkan gandingan Didie Alias dan Sheila Rusly sebagai pengacara manakala selebriti yang menjayakan program ini ialah Adibah Noor, Sahri, Dina, Enot, Bob AF2 dan Sumo Fabulous Cat.

Para peserta akan dibahagikan kepada 2 kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai 3 peserta. Mereka diwajibkan membuat 3 tugasan yang dibahagikan kepada 3 segmen iaitu Ketupat Oh Ketupat, Aduh..Panjut Pulak!! dan Mmmm Sedapnya!!!.

Kalaulah Aku Jadi – Raya Ketiga, 3 Oktober, 10 pagi

Selama ini kita sentiasa menyaksikan artis–artis kesayangan kita di dunia penuh glamor dan sofistikated. Dalam program ini kita dapat saksikan bagaimanakah kalau penyanyi seperti Faizal Tahir menjadi penjual daging dan ayam? Bagaimana pula jika Milla menjadi penjual kuih raya? Mampukah Mawi menjadi penjual ais krim? Manakala, Ikhwan menjadi pengusaha restoran? Kalaulah Aku Jadi yang turut menyelitkan klip video dari artis-artis terbabit.

Raya Bersama Fara – 5 Oktober, 5 petang

Program ”Raya Bersama Fara” memfokuskan kepada pengacara wanita popular 2006/2007 Anugerah Bintang Popular Fara Fauzana sebagai pengendali program yang berbentuk bual-bicara hiburan atau Entertainment variety talkshow ini.

Selain itu ia juga turut menyelitkan ucapan dan dedikasi dari peminat dan rakan-rakan sekerja Fara serta persembahan lagu-lagu yang dibawa secara langsung, tarian dan juga aktiviti-aktivi yang menghiburkan. Antara artis yang terlibat menjayakan program ini termasuklah Jinbara, Afdlin Shauki, Misha Omar, Datuk Aziz Satar, Azwan Ali dan Darling Ngasri. Persembahan artis diiringi oleh pemuzik-pemuzik professional yang dipimpin oleh Faizal Uzir aka Lok U.

BEST OF COMEDY

Al-Kisah Kembali – Raya Kedua, 2 Oktober, 5.30 petang

Jaka (Apek) dan Dhuri (Zarina) mencari anak mereka junior yang telah diculik oleh orang jahat. Mereka terjumpa dengan kawan-kawan lama Jinbai, Momsteem dan Long Sifu semasa dalam perjalanan mencari anak mereka. Bersama mereka, Jaka dan Dhuri bergabung dalam usaha untuk mencari Junior. Pelbagai rintangan dan halangan terpaksa ditempuhi oleh Jaka dan kawan-kawannya untuk menyelamatkan Junior. Berjayakah mereka?

Pelakon: Apek, Zarina Zainuddin, Shamsul Ghau Ghau, Mommsteem, Aziz Kota, Bob Kuman, DJ Sumo, Redza

Senario Gamatnya Raya – Raya Kedua, 2 Oktober, 11 malam

Program ini mengisahkan dua kumpulan anak muda yang ingin merasai suasana baru di hari raya. Anak muda kampung ingin merasai beraya di Bandar, sementara anak muda Bandar pula ingin beraya di kampung. Mereka merasakan dengan berbuat demikian mereka akan mengalami satu pengalaman baru yang menyeronokkan bagi semua.

Oleh itu, tiga pemuda Bandar, Joe, Bobo dan Boy untuk menyambut raya di kampung di rumah bapa saudara Boy. Sementara itu, Deris, Jamil dan Ramli, tiga pemuda kampung pula beriya-iya untuk beraya di Bandar Kuala Lumpur di rumah emak saudara Jamli. Namun, apa yang dirancangkan tidak menjadi kerana segala-galanya tidak seperti yang diimpikan. Apakah yang terjadi kepada kedua-dua kumpulan pemuda ini?

Pelakon: Azlee, Aby Yus, Opie Zami, Bob Kuman

Simpang Tiga Raya Special – Raya Ketiga, 3 Oktober, 11 malam

Program berbentuk sitkom yang berkisahkan Salman, Saleh dan Mawi menaruh hati kepada Wati masing–masing cuba sedaya upaya menambat hati Wati. Dalam diam hati Wati terpaut kepada Salman, Che Pah ibu kepada Wati menyuruh mereka mencarikan lemang tetapi ada saja alasan mereka.

Hinggalah Wati sendiri menyuruh mereka, maka pelbagai usaha dan gelagat mereka untuk mendapatkan lemang yang terbaik dan tersedap untuk Wati sempena persiapan Hari Raya.

Saksikan telatah mereka dan penduduk di sekitar Simpang 3 mula sibuk untuk membuat persiapan raya.

Pelakon: Abon, Ifa Radziah, Acong Sweetchild, Scha, Buzen, Ropi Cecupak, Ebby Yus, Sathiya

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan