'Kelahiran' semula Shila dalam industri seni

Diterbitkan: Khamis, 25 September 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shila sedang sibuk di studio menyiapkan album barunya - foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI
Shila sedang sibuk di studio menyiapkan album barunya - foto THE STAR oleh MOHD SAHAR MISNI

KEGAGALAN gadis bernama Nur Shahila Amir Amzah atau lebih mesra dengan panggilan Shila merangkul gelaran juara program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua awal tahun lalu bukanlah bermaksud penamat terhadap karier seninya.

Bersandarkan bakat dan paras rupa yang menjadi pelengkap pakej gadis berusia 18 tahun ini, nama Shila semakin melonjak naik selepas berakhirnya program realiti itu, ditambah pula dengan single nyanyiannya Memori Tercipta yang mula menjadi siulan ramai selepas itu.

Anak gadis kepada penyanyi ND Lala ini dilihat cukup bijak mengatur perjalanan seninya ketika ini. Mungkin juga kerana pengalaman sebagai penyanyi yang pernah dikutipnya sejak berusia sembilan tahun lagi ketika pertama kali muncul dengan album Terima Kasih Guru, yang diterbitkan oleh ayahnya sendiri.

Shila kemudiannya turut merakamkan album keduanya Yang Teristimewa ketika dia berusia 14 tahun. Namun, tidak dinafikan namanya ketika itu kurang 'menyerlah' berbanding setelah menyertai OIAM.

Mengakui OIAM diibaratkan sebagai platform 'kelahiran' semula dirinya di dalam industri ini, kata Shila, dia seboleh mungkin tidak mahu mempersiakan peluang yang luas terbentang di hadapannya kali ini.

"Saya terpaksa tunggu lebih kurang sembilan tahun untuk sampai ke tahap ini dan memang saya akui, ia tidak semudah yang disangkakan. Sebelum sertai OIAM, saya tidak cukup berani untuk buat apa yang saya mahukan.

"Saya asyik ikut telunjuk orang... mungkin itulah silapnya yang menyebabkan karier seni saya agak perlahan dulu. Tetapi, saya pun masih terlalu muda ketika itu dan saya harap sekarang ini saya mampu mencorakkan karier saya dengan baik," ujar Shila yang ditemui baru-baru ini.

Menurut pemenang Anugerah Emas di Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) di Pulau Pinang ini, dia akui penerimaan ramai terhadap karier seninya yang baru bermula semula ini membuatkan anak jati Kuala Lumpur ini cukup bersemangat untuk membawa kariernya ke peringkat yang lebih jauh.

Malah, artis di bawah naungan label Monkey Bone ini turut mengharapkan 'sinar' terhadap album terbarunya yang kini sedang dalam proses pembikinan.

"Alhamdulillah, buat masa ini proses penghasilan album berjalan dengan baik. Lima buah lagu sudah pun siap dirakamkan. Ia bakal menampilkan konsep pop, tetapi ada kelainan sedikit menerusi konsep tersebut.

"Antara komposer yang terlibat ialah Audi Mok, Ajai dan Aubrey Suwito. Seorang komposer dari Australia, Jamie Harbor juga akan turut menyumbangkan karyanya di dalam album ini. Ia diuruskan oleh bos Monkey Bone sendiri, Ahmad Izham Omar.

"Kemungkinan juga penyanyi antarabangsa, Chenelle, akan turut mencipta sebuah lagu untuk album ini. Ini juga merupakan hasil idea Izham sendiri.

"Saya juga sebelum ini pernah merakamkan enam buah lagu untuk drama Lima Jingga dan berkemungkinan salah satu daripada lagu tersebut akan turut dimuatkan dalam album penuh saya nanti," kata Shila yang kini sedang popular menerusi lagu Bebaskanlah yang merupakan lagu tema bagi drama bersiri Alam's Story yang disiarkan di 8TV.

Sementara menantikan albumnya itu siap dihasilkan, Shila ketika ini sibuk memenuhi undangan persembahan selain menumpukan perhatian terhadap pengajiannya di Kolej Segi dalam bidang pengurusan perniagaan.

"Jadual harian saya memang agak sibuk antara pelajaran dan nyanyian. Tetapi, setakat ini saya tidak berdepan dengan masalah dalam pembahagian masa.

"Sebagai contoh, sepanjang Ramadan ini, di waktu siang saya akan ke kuliah manakala selepas berbuka baru saya akan masuk ke studio untuk rakamkan album," kata penyanyi yang turut ditawarkan untuk menjadi duta bagi beberapa produk makanan dan penjagaan wajah.

Lantaran kesibukan menguruskan dua kerja dalam satu masa juga membuatkan Shila perlu menolak beberapa tawaran berlakon yang diterimanya tidak lama dulu.

"Komitmen menyanyi dan berlakon adalah berbeza. Berlakon memerlukan pengorbanan masa yang besar. Melihat dengan jadual saya sekarang, saya tidak rasa ini adalah masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

"Lagipun, saya sendiri belum benar-benar bersedia untuk ke bidang lakonan pula. Biar saya lakukan dulu satu persatu kerja saya, barulah saya boleh fikir sama ada untuk cuba berlakon atau tidak kelak," jelas Shila.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan