Puteri Gunung Ledang kembali kali ketiga di Istana Budaya

Diterbitkan: Rabu, 24 September 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PGLM akan kembali di pentas Istana Budaya pada Februari 2009.
PGLM akan kembali di pentas Istana Budaya pada Februari 2009.

KEJAYAAN yang diraih oleh produksi ini ketika mementaskan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) selama dua musim tidak lama dulu membuatkan Enfiniti Productions tidak teragak-agak untuk mengembalikan 'fenomena' PGLM di pentas Istana Budaya, Kuala Lumpur buat kali ketiga.

Sekali lagi, produksi yang ditunjangi Datin Seri Tiara Jacquelina ini bakal mencipta sejarah tersendiri apabila PGLM akan kembali dipentaskan sekitar Februari depan, yang diharapkan beliau mampu mengulangi kejayaan seperti mana pementasan-pementasan terdahulu.

Masih teringat lagi bagaimana tiket menyaksikan teater muzikal yang menelan kos mencecah RM1.8 juta itu habis dijual beberapa minggu sebelum bermulanya pementasan tersebut buat pertama kalinya pada tahun 2006.

Malah, sebanyak 2,400 tiket yang dikeluarkan untuk pementasan tambahan teater itu turut habis dijual dalam masa tiga jam! Begitu juga ketika pementasan kali kedua PGLM.

Jika dihitung dengan sambutan yang turut diterima ketika PGLM dipentaskan di Esplanade, Singapura dua tahun yang lalu, boleh dikatakan hampir 60,000 penonton dari kedua-dua buah negara telah menyaksikan teater tersohor itu.

Sememangnya satu pencapaian yang cukup membanggakan buat produksi teater muzikal tempatan!

"Sejak musim kedua tamat kira-kira dua tahun lalu, ramai peminat teater asyik bertanyakan kepada kami, bila PGLM akan dipentaskan lagi.

"Malah, sebaik kami habis dengan P.Ramlee The Musical musim pertama dulu, masih ada yang bertanyakan tentang PGLM.

"Saya akui, kejayaan selama dua musim bersama PGLM di IB serta di Esplanade, Singapura dua tahun lalu banyak memberikan semangat kepada seluruh produksi untuk lakukannya sekali lagi.

"Secara peribadi, saya sendiri sebagai pelakon dan penerbit eksekutif produksi ini memang sukar untuk menggambarkan betapa istimewanya PGLM ini kepada saya. Saya cukup yakin dengan 'team' produksi ini dan kami semua cukup gembira untuk pentaskan sekali lagi PGLM," ujar Tiara menerusi sidang video bersamanya semalam yang ketika ini sedang mengikuti kursus pendek dalam bidang seni persembahan di University of Tasmania, Australia selama tiga bulan.

Turut menemani Tiara di sana ialah suaminya, Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi yang juga sedang mengikuti pengajian Sejarah Dunia di universiti yang sama.

Pasangan ini dijangka pulang ke Malaysia November ini.

Mengulas lanjut tentang musim ketiga PGLM ini, kata Tiara, ia tetap akan mengekalkan tenaga kreatifnya seperti dulu yang mana Datuk Zahim Al-Bakri akan bertindak selaku pengarah, Roslan Aziz sebagai Pengarah Muzik, Pat Ibrahim (koreografer), Raja Malek (pereka set).

Lirik dan skrip cerita yang dihasilkan oleh Adlin Aman Ramlie akan terus dikekalkan.

"Sewaktu saya pulang ke Malaysia minggu lalu kami semua sempat membuat perbincangan tentang pementasan kali ini. Pasukan produksi ini sedang bekerja keras untuk memastikan pementasan kali ini lebih baik berbanding dulu.

"Tidak banyak perubahan yang kita akan buat, cuma kita ingin meningkatkan lagi kualitinya. Begitu juga dengan barisan pelakon.

"Setakat ini, Insya-Allah saya akan terus kekal dengan peranan Puteri Gunung Ledang. Stephen Rahman-Hughes juga mungkin akan kembali sebagai Hang Tuah.

Tentang senarai pelakon lain, kata beliau, pihaknya akan umumkan kelak.

"Saya cuma harap dapat kekalkan pelakon yang sama. Adlin juga masih belum dapat mengesahkan penglibatan dia kali ini.

"Apapun, kami akan cuba dapatkan Adlin juga... jika tidak sebagai pelakon pun sekurang-kurangnya sebagai pengarah bersekutu," kata Tiara.

Mengenai lagu-lagu dalam pementasan tersebut, kata Tiara lagi, ia juga akan terus dikekalkan.

"Kita tidak ada apa-apa perancangan pun untuk tukar lagu-lagu yang kita pernah gunakan dulu. Mungkin Roslan Aziz akan perbaiki lagi kekurangan di mana-mana. Itu terserah kepada dia sendiri," katanya.

Ditanya sama ada pementasan kali ini merupakan 'persediaan' produksi ini untuk dipentaskan di Jepun seperti yang dikhabarkan baru-baru ini, jelas Tiara, pementasan ini tidak ada kena-mengena dengan tawaran tersebut.

"Memang kami ada mendapat undangan untuk mementaskan PGLM di Jepun. Tapi buat masa ini kami rasa produksi ini belum bersedia untuk ke sana. Banyak perkara yang perlu diteliti terlebih dahulu.

"Ketika ini, kami hanya ingin fokus tentang pementasan di IB saja dulu," jelas Tiara.

Tiket-tiket berharga RM30, RM80, RM120, RM150, RM180, RM200, RM230, RM250 dan RM350 akan mula dijual bermula 1 Oktober ini menerusi laman web www.axcess.com.my dan juga boleh ditempah menerusi talian hotline 03-77115000 bermula 3 Oktober.

Tiket juga boleh dibeli terus di Istana Budaya bermula 13 Oktober.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan