Ekin tidak pernah bosan diaju soal 'kahwin'

Diterbitkan: Jumaat, 19 September 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ekin dan Mawi bakal umumkan tarikh perkahwinan mereka selepas Hari Raya nanti. (Foto The Star oleh Azman Ghani)
Ekin dan Mawi bakal umumkan tarikh perkahwinan mereka selepas Hari Raya nanti. (Foto The Star oleh Azman Ghani)

SEJAK pasangan kekasih ini mendedahkan tentang hubungan cinta mereka tidak lama dulu, tidak dinafikan cerita yang sering ingin dicungkil oleh pihak media ketika ini ialah tentang perancangan perkahwinan pemilik bernama Asmawi Ani atau Mawi dan kekasih Nora'Ashikin Rahmat yang mesra disapa Ekin ini.

Apatah lagi dengan perkhabaran yang mengatakan pasangan ini sedang rancak membuat persiapan perkahwinan mereka yang dikatakan berlangsung Disember ini, makin kuatlah lagi mereka diajukan soalan tentang perkara tersebut setiap kali bertemu media.

Namun, baik Mawi mahupun Ekin, mereka lebih selesa untuk tidak mengulas lanjut tentang perkara tersebut. Kedua-duanya nampaknya lebih gemar membiarkan semua pihak terus 'berteka-teki' dengan tarikh sebenar perkahwinan mereka itu.

"Macam-macam tarikh yang saya baca tentang perkara itu. Ada yang cakap 19 Disember la, 20 Disember la... banyak sebenarnya. Tapi seperti yang sering saya dan Mawi katakan sebelum ini, tunggulah masanya untuk kami umumkan.

"Memang pening juga selalu ditanya soalan macam tu. Tapi, saya tidak pernah salahkan media. Bagi saya, biasalah soalan-soalan macam ini memang akan sering timbul apatah lagi setelah kami sendiri dedahkan tentang hubungan kami dulu.

"Bagi saya, semampu mungkin saya akan berikan kerjasama yang baik dengan pihak media. Apapun, tentang perkara ini biarlah kalau boleh dijelaskan pada masa yang sesuai.

"Insya-Allah, selepas raya nanti kami mungkin akan adakan sidang media untuk umumkan tarikhnya di hadapan semua media," ujar Ekin.

Menurut pelakon berusia 29 tahun ini, dia sedar banyak pihak yang tidak senang dengan dirinya ekoran kisah-kisah yang terpampang di dada akhbar mahupun majalah lebih menjurus kepada hubungannya bersama Mawi.

Lebih menyedihkan Ekin, rata-ratanya seperti tidak 'puas hati' dengan apa saja yang dilakukan oleh dirinya. Pelbagai hentaman dan kutukan singgah sehingga dirinya cukup tercalar dengan perkara itu.

Namun, gadis kelahiran Johor Bahru ini tidak mudah melatah. Apa saja yang dipaparkan di media dianggap Ekin sebagai lumrah tugas wartawan. Mungkin ada yang suka dan mungkin juga tidak - itulah yang sentiasa diterapkan di dalam hati pelakon ini.

"Saya pun sebenarnya sudah sampai ke satu tahap yang mana saya sudah malas ambil tahu tentang kutukan orang. Saya sedar ramai yang bercakap buruk tentang saya di internet, tetapi saya tidak mahu ambil pusing.

"Saya sudah lalui pelbagai cacian orang sejak mula-mula bersama Mawi lagi. Saya rasa sekarang saya sudah cukup kuat untuk hadapi semua ini.

"Lihat sendiri bagaimana Datuk Siti Nurhaliza menghadapi satu demi satu kontroversi dalam hidupnya. Alhamdulillah, keluarga dan Mawi sendiri banyak memberi sokongan kepada saya.

"Biarlah orang nak berkata apa pun tentang saya. Yang penting, saya sentiasa ingatkan diri saya agar perbetulkan mana yang tidak betul dalam diri sendiri," kata Ekin dalam nada ceria.

Bisnes hamper raya dapat sambutan

Sepanjang bulan Ramadan ini juga, Ekin bersama kembarnya Aein ligat menjalankan bisnes hamper raya yang mana perniagaan tersebut telah pun diusahakan mereka sejak dua tahun lalu.

Lebih menggembirakan Ekin, bisnes mereka tahun ini berjaya mendapat sambutan ramai berbanding tahun-tahun terdahulu.

"Kami sudah anggap ia seperti bisnes keluarga, malah kami turut gunakan 'cookies' yang ibu kami buat sendiri sebagai salah satu kandungan hamper tersebut.

"Alhamdulillah, kami menerima tempahan yang cukup banyak tahun ini. Mungkin ramai yang sudah mula tahu tentang bisnes ini sebab kami pun dah lakukan sejak dua tahun yang lalu... tapi bukan kerana kisah saya dan Mawi menjadi faktor bisnes laris ye...," tutur Ekin dalam nada berseloroh.

Ditanya tentang bidang lakonan pula, kata duta tudung Ariani dan R&Z Cosmetics ini, dia ada menerima beberapa tawaran berlakon setakat ini.

"Memang sudah lama saya tidak berlakon. Dulu saya akui, saya ambil langkah berhenti seketika sewaktu di awal hubungan saya dan Mawi. Bukannya apa, ketika itu agak 'panas' juga orang memperkatakan tentang kami. Saya tidak mahu orang terus benci jika terlihat muka saya di kaca televisyen, sebab itu saya tolak banyak tawaran.

"Kali ini, saya akui, ada tawaran yang bagus. Tapi saya rasa nantilah dulu. Biar saya buat kerja satu demi satu dulu. Jika kelak ada peluang lagi dan sesuai dengan masa saya, Insya-Allah saya akan terima," ujar Ekin yang pernah popular menerusi drama Kawan.

iklan

Video

Selasa, 24 Oktober 2017 9:00 AM

Jom Santai Tajul & Ruhainies Gamat!

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan