Ria Sentral: Sazzy, Hani saling memerlukan

Diterbitkan: Khamis, 18 September 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sazzy Falak semakin galak mengacara Ria Sentral. (Foto The Star oleh Mohd. Sahar Misni)
Sazzy Falak semakin galak mengacara Ria Sentral. (Foto The Star oleh Mohd. Sahar Misni)

BERPAKSIKAN kepada satu karier iaitu bidang pengacaraan, Sazzy Falak dan Yasmin Hani kini semakin dikenali melalui rancangan TV Ria Sentral terbitan Astro.

Program berkonsepkan hiburan itu telah bersiaran sebanyak 30 episod di Astro Ria sejak 14 Februari lalu dan dijangka menamatkan siarannya pada awal tahun depan selepas mencecah 52 episod.

Memandangkan telah lama program yang menggabungkan tiga program TV terdahulu iaitu Muzik@Ria, Wayang Kita dan Beat TV itu bersiaran, sudah tentu Sazzy dan Hani makin serasi dan saling memerlukan antara satu sama lain untuk menjayakannya.

"Gandingan kami selalunya lebih memberikan kebaikan antara satu sama lain.

"Dengan Hani, dia banyak membantu saya meningkatkan prestasi kerja ini. Kerja ini memberikan saya cabaran dan sentiasa menekan diri saya sendiri. Jadi, saya memerlukan seseorang yang dapat menaikkan semangat saya seperti Hani," beritahu Sazzy seusai selesai menjayakan rakaman Ria Sentral Raya 2008 di Grand Millenium, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hani pula berpendapat, "Alhamdulillah, kami masih serasi bersama. Sazzy pula seorang yang berfikiran terbuka dan pandai berkomunikasi.

"Dulu saya merupakan seorang yang suka menyendiri sebab terikut-ikut dengan kakak saya.

"Lagipun, saya dah biasa dan rasa tertekan apabila orang suka pandang-pandang saya dulu kerana saya seorang yang pemalu.

"Sekarang, saya juga dah biasa dengan media kerana kami memerlukan antara satu sama lain. Kerja lama-lama pun tapi tak mesra dengan orang tak ke mana juga. Apabila dah kerja ni, ia secara perlahan-lahan mengubah hidup saya," katanya.

Sazzy yang akui semakin rapat dengan Hani selain Aishah Sinclair menambah: "Kami sama-sama belajar. Inilah kelebihannya kalau bekerja dalam berpasukan."

Apabila menyelami hati masing-masing, ternyata bukan mudah untuk mengendalikan program tersebut.

Kata Sazzy dan Hani, mereka lebih tercabar dari segi pembahagian masa. Apabila diperhalusi, cabaran mungkin lebih dirasai oleh Sazzy berbanding Hani memandangkan dirinya sudah mempunyai suami dan semestinya terikat dengan kerja-kerja sebagai seorang isteri.

"Saya rasa cabaran dalam mengacarakan program ini adalah dari segi masa sebab saya perlu bijak membahagikan masa untuk karier, bisnes dan keluarga.

"Kadangkala, saya sampai tiada masa untuk menjadi seorang isteri. Saya perlu fikir juga sama ada suami bersahur atau tidak, dan bagaimana dia berbuka puasa pada bulan puasa ini.

"Namun begitu, saya sukakan cabaran ini kerana ia membuatkan saya menjadi bagus dan meningkatkan prestasi diri saya," ujar isteri kepada pelakon, pengacara dan model Nazril Idrus ini.

Sementara itu, Hani pula berkata: "Ria Sentral lebih banyak menggunakan masa berbanding program Muzik@Ria dulu."

"Sekarang, saya perlu buat rakaman 'voice over' selang seminggu. Dulu buat program live lagi sempoi, tetapi sekarang pun best juga walaupun buat live selama setengah jam," ujarnya lagi.

Setuju konsep 'kampung'

Semasa rakaman Aidilfitri Ria Sentral baru-baru ini, produser Zul Akmarwati Mat Rawi berkata, program tersebut akan diubah kepada konsep 'kampung' bagi meraih penonton di luar bandar selepas Aidilfitri.

Apabila hal tersebut diutarakan kepada kedua pengacara kecil molek ini, mereka masing-masing bersetuju.

"Bagus juga kerana hiburan sangat luas dan ia milik semua. Selepas ini, Ria Sentral mesti lebih menyeronokkan dan sokongan semakin kuat," kata Sazzy.

Hani pula menjawab: "Lagi menarik sebab sebelum ini orang kampung banyak juga menyokong artis-artis tempatan dengan membeli majalah dan sebagainya."

Ria Sentral Raya dibahagikan kepada dua episod. Episod yang pertama disiarkan pada 2 Oktober atau Hari Raya Kedua, pukul 11.30 pagi.

Episod tersebut telah dirakamkan di Rebak Island Resort, Langkawi yang menampilkan penyanyi Adam, Dafi, Mila, pelakon Diana Danielle, serta dua pelakon filem Kami The Movie iaitu Ezani dan Juliana Evans.

Pada pukul 6 petang 9 Oktober, penonton bakal disajikan dengan babak romantis selebriti terkenal tanah air serta temu bual eksklusif bersama mereka tentang erti raya.

Episod kali ini menampilkan pasangan Dafi dan Diana Danielle dan bekas pasangan kekasih Adam dan Juliana Evans menikmati makan malam romantis di tepi pantai.

Mereka akan bercerita dan meluahkan perasaan tentang kisah-kisah romantik mereka.

Ikuti temu bual eksklusif bersama para pelakon filem Senario the Movie dan juga filem Papadom yang bakal ditayangkan pada musim raya.

Jamuan makan malam di Grand Millenium bersama para selebriti, anak-anak yatim dan para pengeluar filem dianjurkan oleh Ria Sentral untuk tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik.

Seramai 20 artis menjayakan program tersebut antaranya adalah alumni Akademi Fantasia seperti Aizat, Nadia, Stacy, Nubhan, pelakon Intan Ladyana, Fouziah Gous, Iqram Dinzly, Afdlin Shauki, penyanyi Farah Ashikin, Imran Ajmain, Sofaz, Fabulous Cat dan Saujana.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan