suria

Kecoh! Keluarga lelaki maut disengat lebah mengamuk mangsa dirawat di wad isolasi Covid-19

Lelaki yang meninggal dunia di ruang isolasi Covid-19 telah menimbulkan kemarahan ahli keluarganya kerana dia hanya disengat lebah.

KEKECOHAN tercetus antara keluarga pesakit dan anggota perubatan di sebuah hospital di wilayah Wajo, Sulawesi Selatan apabila seorang lelaki maut akibat disengat lebah.

Keluarga mangsa itu tidak dapat menerima situasi di mana pemuda itu telah dirawat di ruang isolasi khusus untuk pesakit Covid-19, walaupun dia sebenarnya hanya disengat lebah.

Bagaimanapun, pihak hospital mempertahankan tindakan mereka itu kerana pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai sejarah perjalanan ke wilayah yang mempunyai kes koronavirus.

Tangisan tanpa henti kedengaran saat jenazah AR terbaring di ruang isolasi Covid-19 di Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Lamaddukelleng Sengkang di wilayah itu pukul 4 petang Isnin.

"Cuma disengat lebah, kenapa harus diisolasi kerana koronavirus," kata Ahmad Risaldi, 19, adik kepada AR.

Kata Risaldi, abangnya yang berusia 37 tahun itu bekerja sebagai pemandu dan insiden disengat lebah pada bahagian keningnya hingga menyebabkan mukanya membengkak itu berlaku Sabtu lalu.

Bagaimanapun, AR hanya dibawa ke hospital selepas dua hari apabila keadaan bengkak pada wajahnya tidak beransur pulih.

Keluarga AR ternyata tidak dapat menerima situasi yang dilaluinya apabila bertindak mengamuk di hadapan petugas perubatan.

Bagaimanapun, jenazah telah dipindahkan ke rumah mayat di Jalan Kelapa daerah Tempe untuk dikebumikan.

Berdasarkan kenyataan pihak hospital itu, lelaki itu ditempatkan di ruang isolasi koronavirus kerana dalam keadaan demam ketika dibawa ke situ.

"Ketika tiba di sini, pesakit dalam keadaan demam dan dia mengaku pernah melakukan perjalanan ke Kota Makassar.

"Jadi, mengikut SOP dia perlu menjalani rawatan umpama pesakit Covid-19," kata Pengarah RSUD berkenaan, Dr Andi Ela Hafid.

-kompas.com
lebah, Covid-19, Wajo, Makassar

Artikel Lain