suria

Jururawat meninggal dunia kerana Covid-19, didakwa tak pakai perlindungan lengkap

Alagos merupakan jururawat ketiga dan kakitangan perubatan termuda yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19. Foto: Metro.co.uk

IBU kepada jururawat lelaki yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 mendedahkan bahawa anaknya tidak memakai pakaian perlindungan yang lengkap sewaktu bekerja.

John Alagos, 23, yang merupakan kakitangan di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) pulang ke rumah pada Jumaat lalu selepas menamatkan shif malam di Hospital Besar Watford.

Menurut Gina Gustilo, 50, anaknya mengadu sakit kepala selain mencatatkan suhu badan yang tinggi pada malam berkenaan.

Jururawat muda itu kemudian tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

Dakwa Gina, pihak hospital tidak membenarkan anaknya itu pulang selepas tamat shif gara-gara kekurangan kakitangan, menyebabkan jururawat itu meneruskan shif sungguhpun sudah mempunyai simptom.

"Saya tanya kenapa kamu tidak pulang? Tapi dia kata pihak hospital kekurangan kakitangan dan tidak benarkannya pulang.

"Saya jawab OK dan makan ubat paracetamol. Beberapa minit kemudian saya temuinya dalam keadaan pucat di atas katil," ujar Gina.

Gina berkata, rakan anaknya ada memaklumkan bahawa dia tidak memakai pakaian perlindungan yang lengkap.

"Mereka pakai PPE tapi tak sepenuhnya melindungi di mulut. Mereka hanya pakai topeng muka biasa," ujarnya.

Alagos merupakan jururawat ketiga dan dipercayai kakitangan perubatan termuda di UK yang meninggal dunia akibat jangkitan wabak berkenaan. - Metro.co.uk

Artikel Lain