suria

Selepas video menyayat hati tular, budak mangsa buli dibanjiri mesej termasuk dari aktor terkenal Hollywood

Jackman (kanan) yang terkenal sebagai Wolverine dalam filem X-men, turut memuat naik video di Twitter untuk memberi kata-kata sokongan buat Quaden. Foto: metro.co.uk

SELEPAS video seorang kanak-kanak, Quaden, menjadi tular gara-gara mahu membunuh diri ekoran tidak tahan menjadi mangsa buli, kini pelajar berusia sembilan tahun itu dibanjiri dengan mesej positif daripada orang ramai.

Terdahulu ibu Quaden, iaitu Yarraka Bayles dari Brisbane, Australia memuat naik video anaknya menangis dan meminta tali untuk membunuh diri, gara-gara sering dibuli.

Video tersebut menarik perhatian ramai kerana begitu menyentuh hati.

Antara yang turut terkesan, aktor terkenal Hollywood, Hugh Jackman dan Mark Hamill.

Jackman, yang terkenal sebagai Wolverine dalam filem X-men, turut memuat naik video di Twitter untuk memberi kata-kata sokongan buat Quaden.

Katanya: "Quaden, anda lebih kuat daripada anda tahu".

"Jadi, semua orang kena berbuat baik antara satu sama lain, buli tidak OK.

"Kehidupan cukup sukar, jadi ingatlah, setiap orang di hadapan kita menghadapi beberapa jenis ujian, jadi mari kita bersikap baik".

Sementara itu, Hamill yang memegang watak Luke Skywalker dalam filem Star Wars turut menulis komen di video itu berkata: "Kekejaman sebenar yang begitu menyayat hati".

Aktor Supernatural, Jeffrey Dean Morgan pula berkata: "Saya tidak tahu nama anda, saya tidak tahu nama ibu anda tetapi saya melihat video anda, apa yang saya mahu anda tahu bahawa anda mempunyai kawan, termasuk saya, saya kawan anda". - Metro.co.uk

buli, aktor, Hollywood

Artikel Lain