suria

Bayi pertama usia 9 bulan sah dijangkiti koronavirus, Datuk Bandar dedah 5 juta telah tinggalkan Wuhan

Sehingga Ahad, China mencatatkan 80 kes kematian dan lebih 2,500 yang lain dijangkiti wabak koronavirus. Foto: AFP

KIRA-KIRA 5 juta penduduk telah meninggalkan Wuhan sempena Festival Musim Bunga, sebelum arahan sekatan keluar-masuk akibat wabak koronavirus dikeluarkan, dedah Datuk Bandar Zhou Xianwang pada Ahad.

Pendedahan ini dibuat ketika para pegawai kesihatan memberi amaran bahawa kemampuan virus ini untuk merebak semakin kuat.

Terdapat kira-kira 9 juta orang masih berada di bandaraya itu selepas sekatan dilakukan, kata Xianwang dalam satu sidang akhbar.

Daripada 2,700 orang di bandar itu yang kini berada di bawah pemerhatian, kira-kira 1,000 daripadanya mungkin akan menjadi kes yang disahkan.

Setakat Ahad, Wuhan mencatatkan 533 kes yang disahkan.

Kerajaan pusat mengenakan arahan sekatan ke atas Wuhan dan beberapa bandaraya pada Khamis dengan harapan ia dapat menghentikan virus baharu itu daripada merebak ke bahagian lain di negara itu.

Bagaimanapun, ramai yang telah meninggalkan bandar Wuhan untuk bercuti, sementara yang lain bergegas keluar sebaik sahaja arahan tersebut diumumkan pada malam Rabu.

Sementara itu, Perdana Menteri China Li Keqiang berkata negara itu akan mengetuai kumpulan peringkat tinggi dalam usaha melawan wabak koronavirus yang telah membunuh seramai 80 orang dan menjangkiti lebih daripada 2,500 yang lain.

Pasukan pegawai kesihatan pula berkata keupayaan virus itu untuk terus merebak semakin kuat.

Beijing melaporkan lima lagi kes yang disahkan, termasuk bayi berusia sembilan bulan sekali gus menjadi kes pertama yang disahkan melibatkan bayi.

Pada Sabtu, seorang budak perempuan berusia dua tahun di Guangxi disahkan dijangkiti virus ini.

Menteri yang bertanggungjawab bagi Suruhanjaya Kesihatan Negara (NHC) China, Ma Xiaowei, memberitahu satu sidang akhbar bahawa memerangi wabak itu adalah rumit, terutamanya kerana virus baharu itu didapati boleh merebak walaupun semasa tempoh inkubasi, berbeza dengan Sars.

“Dari pemerhatian, virus itu mampu disebarkan walaupun semasa tempoh inkubasi," kata Ma, sambil menambah bahawa tempoh inkubasi berlaku dari satu hingga 14 hari.

“Sesetengah pesakit mempunyai suhu normal dan terdapat banyak kes yang lebih ringan. Ada juga pembawa tersembunyi,” katanya. - SCMP

bayi, Wuhan, Datuk Bandar, koronavirus

Artikel Lain