suria

Bingkai gambar Putera Harry dan Meghan ‘hilang’ dari meja Ratu Elizabeth di Istana Buckingham

Gambar kanan menunjukkan bingkai gambar Putera Harry dan Meghan Markle yang dikesan 'hilang'. -foto AFP/Getty

BEBERAPA keping gambar terbaharu mendedahkan bahawa bingkai gambar Duke dan Duchess of Sussex yang dipamerkan di Istana Buckingham hilang!

Bingkai hilang tersebut mempamerkan foto Putera Harry dan Meghan Markle, selain bingkai gambar Putera William dan Kate Middleton serta bingkai gambar dua adik beradik lelaki itu memakai seragam tentera.

Ia dipamerkan di bilik tetamu Ratu Elizabeth di istana.

Bingkai tersebut dilihat masih berada di situ pada Julai apabila Ratu Elizabeth melantik Perdana Menteri Boris Johnson.

Tetapi apabila ratu mengadakan pertemuan peribadi dengan Pesuruhjaya Tinggi Grenada, Kisha Alexander-Grant minggu ini, ia sudah tidak kelihatan.

Sekeping gambar yang diambil ketika pertemuan itu pada Selasa menunjukkan meja kecil tempat meletakkan ketiga-tiga bingkai gambar itu sebelum ini tidak lagi mempunyai gambar Putera Harry dan isterinya Meghan.

Borris Johnson dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Julai. -foto Getty

Dua lagi bingkai gambar kekal berada di posisi sama.

Bagaimanapun ini bukan kali pertama bingkai gambar dialihkan dari tempat biasanya di ruang tersebut.

Timbul beberapa spekulasi bahawa gambar itu, yang dipamerkan selepas perkahwinan Meghan dan Harry pada Mei 2018 telah dikeluarkan untuk menghormati privasi pasangan itu.

Tidak banyak yang didedahkan mengenai hubungan mereka susulan dokumentari ITV ketika lawatan mereka ke Afrika Selatan.

Semasa program itu, Duke dan Duchess of Sussex mendedahkan cabaran yang mereka hadapi di bawah pemerhatian media dan sebagai ahli keluarga diraja.

Meghan memberitahu ITV News At Ten yang dihoskan oleh Tom Bradby: "Mana-mana wanita, terutamanya ketika sedang hamil, sangat lemah sehingga ia menjadi sesuatu yang sangat mencabar.

"Dan bila anda mempunyai bayi baru lahir, anda tahu? Sebagai seorang wanita, ia benar-benar banyak cabaran."

Bingkai gambar disedari 'hilang' ketika pertemuan Ratu Elizabeth dengan Pesuruhjaya Tinggi Grenada, Kisha Alexander-Grant baru-baru ini. -foto Getty

Apabila ditanya sama ada dia OK, Meghan berkata: "Terima kasih kerana bertanya, kerana tak ramai yang tanya sama ada saya OK atau tak, tapi jelas semuanya akan diteruskan di belakang tabir."

Putera Harry pula menyuarakan kebimbangannya tentang 'masa lalu yang akan berulang' dan berkata dia mahu melindungi keluarganya daripada media.

Putera Harry juga mendedahkan hubungannya dengan abangnya, menyatakan dia dan Putera William mempunyai 'hari baik' dan 'hari buruk' tetapi berada di 'laluan yang berbeza'.

Putera William dikatakan sangat risau tentang adik lelaki dan adik iparnya itu susulan dokumentari penuh emosi itu.

Sumber Istana Kensington dikatakan telah memberitahu BBC bahawa terdapat pandangan pasangan itu sedang berada di tahap yang tidak baik.

Jurucakap Istana Buckingham tidak akan mengulas mengenai gambar-gambar tersebut. -MetroUK

Artikel Lain