suria

Terkilan anak tidak dilayan di pasar raya gara-gara wajah menakutkan kesan luka terbakar

Liam, Sinead Soffe dan anak mereka Elizabeth.

IBU bapa kepada seorang kanak-kanak perempuan yang luka melecur akibat kebakaran semasa bayi menulis surat terbuka kepada individu yang memandang serong keadaan anak mereka.

Liam dan Sinead Soffe mendedahkan bagaimana mereka diminta untuk menamatkan kelas renang Elizabeth gara-gara keadaannya itu.

Pasangan itu menetap di Qatar pada 2014 semasa insiden kebakaran yang menjejaskan keadaan fizikal Elizabeth ketika dia berusia enam bulan.

Pada 29 Mei 2014, sebaik sahaja Sinead menidurkan Elizabeth di dalam katilnya, dia terdengar bunyi tangisan anaknya itu.

Sinead bergegas ke tingkat atas dan mendapati Elizabeth disambar api.

Akibat insiden itu, Elizabeth kehilangan hampir separuh jari di kedua-dua belah tangannya dan mengalami kesan melecur teruk di badan.

Keadaan Elizabeth amat berbeza dengan kanak-kanak lain kerana dia juga tiada rambut dan hanya memiliki satu telinga sahaja.

Elizabeth bersama ibunya.

Rumah keluarga Sinead musnah dalam kebakaran itu menyebabkan mereka berpindah ke Birmingham bagi memudahkan mereka untuk berulang alik ke hospital, lokasi Elizabeth mendapatkan rawatan.

"Ia memberi kesan kepada keluarga kami. Selain kecederaan Elizabeth semuanya musnah. Kami terpaksa tinggalkan rumah, negara Elizabeth dan William dilahirkan.

"Anak-anak kami juga tinggalkan sekolah dan semua rakan-rakan mereka. Kami diterbangkan menggunakan ambulans udara ke Hospital Kanak-Kanak Birmingham," kata Liam.

Setelah lima tahun menetap di Birmingham, Elizabeth sering diejek oleh kanak-kanak lain.

Namun ibu bapanya amat kecewa dengan komen tidak berperikemanusiaan yang dikeluarkan golongan dewasa.

"Mengapa orang dewasa sanggup kata "sekurang-kurangnya dia tak payah guna topeng Hallowen' atau enggan melayan kami di pasar raya kerana dia kelihatan menakutkan?

"Mengapa orang dewasa fikir ini adalah perlakuan yang boleh diterima? Paling teruk ialah anak perempuan saya harus berhadapan situasi ini sepanjang hidupnya," demikian menurut surat terbuka itu. - Metro.co.uk

Elizabeth, luka melecur

Artikel Lain