suria

Ibu alami kemurungan lempar bayi dari kereta sebelum cuba bunuh diri

Bayi malang itu meninggal dunia di Hospital Bali Mandara beberapa jam kemudian.

SEORANG bayi berusia dua bulan maut selepas ibunya didakwa melempar mangsa dari sebuah kereta yang sedang bergerak.

Polis yang menyiasat kematian bayi itu mempercayai si ibu, Nicole Stasio cuba mengakhiri nyawanya dengan terjun dari kereta tersebut kemudian pada petang Selasa.

Namun, mereka masih belum dapat menyoal siasat wanita berusia 32 tahun itu yang kini sedang dirawat di hospital kerana mengalami kemurungan.

Penduduk di Denpasar Selatan, Bali menemukan bayi tersebut yang mengalami kecederaan parah terdampar di bahu jalan, kurang 1.6 kilometer dari lokasi Stasio melompat keluar dari keretanya.

Bagaimanapun, kelajuan kereta terbabit ketika kejadian berlaku adalah tidak diketahui.

Malangnya, bayi itu meninggal dunia beberapa jam kemudian ketika dirawat di Hospital Bali Mandara.

Difahamkan, wanita tersebut yang dilahirkan di California, Amerika Syarikat telah terbang ke Bali bersama ibu bapanya beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Denpasar Selatan, Nyoman Wiarajaya, berkata, wanita terbabit belum berkahwin dan keluarganya mahu dia melahirkan bayinya di luar negara.

Ibu bapa wanita berkenaan dipercayai telah meninggalkan pulau tersebut.

Wayan Siaja yang dipercayai memandu kereta tersebut dan seorang jurupandu pelancong Made Arimbawa telah membantu pihak polis pada sesi soal siasat.

Dilaporkan kedua-dua lelaki itu memberitahu polis, mereka telah membawa Stasio ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bali pada Selasa tetapi dia mengubah fikirannya tentang keputusan untuk pulang ke rumah.

Tragedi terbabit dikatakan berlaku selepas itu sewaktu mereka bertiga menaiki kenderaan bersama bayi malang tersebut menuju ke Ubud. - Mirror UK

lempar bayi

Artikel Lain