Resit punya hal, tol sesak: "Saya pemandu teksi, macam mana nak 'print', saya tak bawa komputer!" - Berita Semasa | mStar

Resit punya hal, tol sesak: "Saya pemandu teksi, macam mana nak 'print', saya tak bawa komputer!"

Diterbitkan: Jumaat, 9 November 2018 2:22 PM

Paparan skrin video tular. -foto FB @messyukchannel

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Rakaman tular menunjukkan seorang pemandu teksi meminta resit pembayaran di sebuah plaza tol mengundang pelbagai reaksi netizen.

Video berdurasi 4 minit 40 saat itu dipercayai dirakam dan dikongsi sendiri oleh pemandu teksi berkenaan, sebelum ia dimuat naik semula ke beberapa laman Facebook.

Rakaman berkenaan ternyata 'memakan diri' apabila rata-rata netizen menyalahkan pemandu lelaki berkenaan yang berkeras mahukan resit walaupun penjelasan bahawa resit sudah tidak dikeluarkan sudah diberikan oleh jurutol yang bertugas.

Malah, dalam video berkenaan juga jelas terpampang dua notis yang memaklumkan 'tiada lagi resit' sekali gus menambahkan kemarahan netizen yang menyifatkan pemandu berkenaan sebagai 'keras kepala' kerana tidak mahu mengalah.

Pemandu berkenaan tetap berdegil meskipun sudah tertera notis mengenai pengeluaran resit di plaza tol berkenaan.

Tindakan pemandu itu menyebabkan berlakunya kesesakan trafik di lorong tersebut, dipercayai laluan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga beberapa kenderaan membunyikan hon, gara-gara berang dengan pemandu berkenaan yang enggan berganjak dari plaza tol.

Menurut pemandu teksi berkenaan, dia perlu mengambil resit bayaran tol untuk dijadikan sebagai bukti dalam pembayaran pelanggannya.

"Saya tanya macam mana saya nak ambil resit, saya pemandu teksi tau, awak suruh saya pergi online," katanya.

Biarpun sudah diterangkan bahawa ia boleh diakses secara dalam talian, dia masih berkeras untuk meminta resit.

Pemuda berbaju putih yang membayar wang bagi pihak pemandu teksi berkenaan.

Lelaki itu juga dipercayai kurang mengerti dengan sistem baharu sewaktu diterangkan bahawa resit boleh diakses akses secara dalam talian oleh petugas tol berkenaan.

Malah, dia juga diberi cadangan supaya membuat paparan skrin (screen shoot) resit tersebut dan dihantar menerusi khidmat mesej kepada pelanggannya.

Berdasarkan butir perbualan antara mereka, pemandu teksi itu dipercayai tidak faham maksud akses dalam talian dan perkataan screen shoot dan berkata, dia tidak membawa komputer untuk mencetak resit tersebut.

"Saya pemandu teksi, encik kena faham, macam mana saya nak print, saya mana ada bawa komputer!

"Macam mana saya nak screen shot, nak amik nombor telefon semua?," katanya.

Berang dengan kesesakan lalu lintas yang berlaku, seorang lelaki dipercayai dari kenderaan belakang teksi tersebut mendekati mereka sebelum mengeluarkan wang poketnya sendiri berjumlah RM4, bagi pihak pemandu teksi tersebut.

"Saya bagi kat abang RM4, abang jalan boleh?" soal pemuda itu setelah dia membayar wang tol bagi pihak pemandu berkenaan.

Sementara itu, ratusan netizen membanjiri posting video berkenaan dan memberi pendapat mengenai sikap pemandu teksi tersebut.

"Macam ni perangai orang bawa teksi? Patutla tak ada orang naik, lepas tu mula la mogok, terang-terang memo dah keluar, resit memang tak boleh print," tulis Yayunk Eikin II.

"Kerasnya hati dan egonya kau wahai seorang yang bergelar manusia.. ‘saya tak peduli kereta banyak belakang, saya mau resit’.. kalau semua manusia macam ni kat dunia, anda fikir-fikirlah sendiri apa akan terjadi dengan dunia ni," tulis Anwar AN.

"Saya cadangkan Plus sediakan la resit bertulis untuk kes-kes terpencil macam ni, by the way respect dengan brother tu siap offer RM4, cakap pun dengan penuh berhemah walaupun uncle tu terpekik-pekik.. You got my respect bro! Betullah orang cakap respect is earned by your attitude... no need to ask for it..." tulis Ana Muney.


Kredit video: Facebook @messyukchannel
Tags / Kata Kunci: Pemandu Teksi , Plaza Tol , Resit
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan