Ahli Umno mesti gugur mentaliti 'cash is king' untuk sertai Bersatu - Tun M - Berita Semasa | mStar

Ahli Umno mesti gugur mentaliti 'cash is king' untuk sertai Bersatu - Tun M

Diterbitkan: Jumaat, 9 November 2018 6:29 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ahli Umno hanya boleh diterima oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekiranya mereka bebas daripada mentaliti 'cash is king', kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri, yang juga pengerusi Bersatu berkata, mereka dari Umno yang mahu menyertai partinya mesti membuktikan bahawa mereka tidak lagi terikat dengan parti itu.

"Mereka juga harus menyokong tindakan-tindakan yang baik yang dilakukan oleh parti Pribumi (Bersatu). Apabila kami berasa senang dengan kelakuan mereka, maka kita akan terima mereka.

"Dan mereka bukanlah boleh masuk dalam Umno sebagai satu kumpulan besar yang berniat untuk menguasai parti Pribumi.

"Parti Pribumi tidak boleh dikuasai oleh sesiapa. Parti Pribumi dikuasai oleh perjuangannya," kata Dr Mahathir dalam video yang di muat naik di laman sosial Facebook Bersatu.

Dr Mahathir menambah, Umno dahulu merupakan sebuah parti politik yang dihormati tetapi telah tersasar daripada arah yang sebenar disebabkan budaya "cash is king".

"Jika anda keluar Umno dan menyertai mana-mana parti, anda mesti gugur sifat-sifat yang ada pada mereka, yang menyebabkan Umno dipandang jijik oleh seluruh rakyat di Malaysia.

"Kerana itu, mereka kalah. Dulu Umno tak pernah kalah," ujar Dr Mahathir.

Dr Mahathir menegaskan bahawa Bersatu adalah sebuah parti yang diasaskan oleh bekas ahli Umno yang tidak puas hati dengan kepimpinan "rejim lama".

"Sekiranya ketika itu ketika ahli-ahli Umno mengekalkan prinsip sebenar parti, mereka akan pergi mereka melihat pemimpin Umno dipecat oleh parti kerana bersikap jujur dan telus.

"Tetapi kerana budaya 'cash is king', mereka kekal dalam Umno. Mereka sanggup menjual perjuangan Umno.

"Umno didirikan bukan untuk orang tertentu, bukan untuk Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn atau saya. Perjuangan Umno adalah untuk agama, bangsa dan negara.

"Tetapi perjuangan Umno lebih tertumpu kepada menyelamatkan pemimpin, sehingga tidak mempedulikan pemimpin-pemimpin itu membuat perkara yang tidak baik," kataa Dr Mahathir.

Tags / Kata Kunci: Dr Mahathir Mohamad , Bersatu , Umno
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan