Hajat ke Perth terkubur ejen pelancongan kaki 'propa', hari nak terbang tiket pun tak tempah! - Berita Semasa | mStar

Hajat ke Perth terkubur ejen pelancongan kaki 'propa', hari nak terbang tiket pun tak tempah!

Diterbitkan: Jumaat, 9 November 2018 2:56 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kecoh di media sosial apabila seorang wanita bernama Farhana Hussin meluahkan rasa marah, mendakwa dia ditipu sebuah agensi pelancongan tempatan.

Menurutnya, dia berasa tertipu selepas seorang ejen yang dikenali sebagai Azi memberikan pelbagai alasan sehingga penerbangannya ke Perth, Australia terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.

"Kami sepatutnya ke Perth pada 8 September lalu tetapi dibatal pada saat akhir dengan alasan visa tidak lulus.

"Lepas tu dia suruh kami pilih tarikh baharu dan menetapkan tarikh 3 November untuk ke Australia.

"Kami berkumpul seawal pukul 5.30 pagi di KLIA namun diberitahu tiket penerbangan belum beli atas alasan terlepas pandang.

"Hotel dan kenderaan dekat sana pun dia belum tempah lagi," katanya ketika dihubungi mStar Online.


Farhana menyatakan trip ke Perth, Australia terpaksa dibatalkan pada saat akhir kerana tiket penerbangan tidak ditempah.

Selain itu Farhana mendakwa ejen terbabit sukar untuk dihubungi malah tidak memberikan apa-apa respon sebelum tarikh penerbangan.

"Sebelum tarikh kami bertolak tu dia sangat susah untuk dihubungi.

"Dalam group WhatsApp, 'personal message', telefon pun dia tak angkat. Dm (direct message) dekat FB pun tak balas.

"Cuma sekali dia balas cakap semua dah selesai, termasuk urusan tiket dan visa.

"Tiba-tiba hari sepatutnya terbang dia cakap tiket tak tempah pula," katanya.

Akibat sikap ejen yang tidak bertanggungjawab itu, Farhana mendakwa dia dan rakan-rakannya terpaksa menanggung kerugian sebanyak lebih RM60,000.

"Kami minta dia pulangkan semua duit kami tapi dia bagi alasan tak ada duit dan tak tahu cara untuk pindahkan duit secara online.

"Dia dan suami kami bawa ke balai polis dan kakak tu hanya pulangkan sebanyak RM20,000 sahaja. Ada lagi baki sebanyak RM60,000 dia janji untuk pulangkan Sabtu ini," katanya.

Laporan polis dibuat terhadap ejen pelancongan terbabit.

Rupa-rupanya bukan Farhana sahaja yang terjerat, sebaliknya ramai lagi yang mendakwa pernah menjadi mangsa kepada ejen pelancongan yang sama sebelum ini.

Menurut Farhana, selepas tular status yang dimuat naik di media sosial, lebih ramai individu yang mendakwa pernah menjadi mangsa tampil memberitahu pernah ditipu ejen yang sama.

"Dah banyak sangat kes dia dan modus operandinya juga sama.

"Dia akan kata visa tak lulus atau dia akan salahkan pekerja sebab tak tempah tiket.

"Kes terbaharu, trip yang sepatutnya pada 23 September ini, ditunda ke bulan 12 atas alasan bergabung dengan kumpulan lagi satu, tetapi tidak memberi sebarang notis kepada kami," katanya.

Berdasarkan komen ditinggalkan netizen, bukan seorang, bukan dua orang, tetapi lebih 30 orang yang telah menadi mangsa ejen pelancongan ini, dipercayai scam.

Mangsa mendedahkan pernah ditipu ejen sama, dua tahun lalu.

Pemilik agensi dikatakan sanggup tipu kawan baik sendiri.

Sepatutnya terbang ke Korea bulan depan.

Menyedari kisah ini menjadi tular, suspek yang dikenali sebagai Azi kemudian bertindak menutup akaun Facebooknya.

Sementara itu hasil carian mStar Online melalui laman web rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) juga mendapati tiada sebarang rekod berkaitan ejen ini yang dijumpai.

Hasil carian melalui laman web Motac gagal menemui rekod berhubung agensi pelancongan ini.

Tags / Kata Kunci: ejen pelancongan , tipu , visa
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan