Suami suap isteri, anak nak suap ibu, perunding motivasi mengaku “Saya tak sabar nak kahwin!” - Berita Semasa | mStar

Suami suap isteri, anak nak suap ibu, perunding motivasi mengaku “Saya tak sabar nak kahwin!”

Diterbitkan: Khamis, 8 November 2018 9:46 PM

Paparan skrin video tular mengenai kebahagian suami isteri yang dimuat naik perunding motivasi, Sharimi Shaharudin. (Gambar kecil) Sharimi Shaharudin.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Di sebuah meja dalam sebuah restoran, kelihatan pasangan suami isteri bersama dua anak kecil sedang makan tengah hari.

Seorang anak duduk di atas kerusi kanak-kanak di sebelah bapa, manakala isterinya memangku seorang lagi anak kecilnya.

Menerusi video yang kini tular di media sosial, lelaki berkenaan kemudian dilihat menyuapkan makanan kepada isterinya.

“Yang sweet (manis)nya si suami suapkan isterinya makan. Allahu, bagi aku momen yang best (terbaik) sangat. Aku pun terasa nak rakam, buat pengajaran dalam diri,” menurut perkongsian oleh seorang perunding motivasi, Sharimi Shaharudin di laman sosial Instagramnya.

“Keluarga bahagia ni satu nikmat yang tidak terbanding dengan semua nilai harta di dunia. Kita yang memilih untuk bahagia atau tidak,” tambahnya dalam posting yang dikongsi.

Anak kecil turut mahu menyuapkan makanan kepada ibunya.

Momen paling indah yang sempat dirakamkannya adalah seorang anak yang duduk bersebelahan dengan bapanya, turut mahu menyuapkan makanan kepada ibunya.

Ibarat ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’, si cilik itu berusaha untuk memberi suapan meskipun kedudukannya agak jauh dari kerusi ibunya.

Namun dengan bantuan bapa, termasuk ibu yang kemudian bangun mendekati anaknya, suapan kasih sayang itu dapat ditunaikan.

Bercakap kepada mStar Online, Sharimi berkata, dia tidak menyangka dapat merakamkan momen indah itu sewaktu menikmati makan tengah hari di kedai Pak Long di Ukay Perdana, Selasa lalu.

Dia yang tidak mengenali keluarga itu berkata, walaupun gelagat keluarga berkenaan mungkin dianggap biasa bagi segelintir pihak, tetapi ia semakin jarang diamalkan dalam masyarakat hari ini.

“Bila suami berkenaan suap isterinya, itu menarik perhatian sebab dia tidak pentingkan diri sendiri hanya makan seorang.

“Paling tersentuh bila apa yang dilakukan lelaki itu cuba diikut anaknya yang juga nak suap ibunya. Saya sempat rakam anaknya suap ibunya sekali, tapi sebenarnya lebih dari itu, mungkin tiga suapan,” katanya ketika dihubungi.

Sharimi Shaharudin merupakan penceramah dan perunding motivasi. Foto Instagram sharimi_shaharudin

Berdasarkan pemerhatian Sharimi, pasangan suami isteri itu tidak mempedulikan keadaan sekeliling dan hanya memberi tumpuan menjamu selera bersama keluarga.

“Mereka tak peduli walaupun ada yang pandang. Bagi saya, mereka merupakan satu contoh pasangan yang baik kerana mengambil berat antara satu sama lain.

“Dahlah tak pentingkan diri sendiri, suami juga tak hisap rokok. Tanggungjawab membela anak bukan hanya pada isteri sahaja, tetapi susah sama susah dan senang sama senang,” tambahnya.

Dalam pada itu, komen seorang pengikut di laman sosialnya menarik perhatian apabila mendoakan penceramah berusia 30 tahun itu segera dipertemukan jodoh.

Mengulas komen tersebut, Sharimi mengakui beliau sebenarnya tidak sabar untuk menempuhi alam perkahwinan dan membahagiakan pasangannya.

“Memang saya tak sabar nak kahwin. Saya sukakan budak-budak. Bila video tu tular bilalah saya nak jumpa pasangan. Doakanlah,” katanya secara berseloroh, sambil turut mendoakan semua kenalannya yang sudah berkahwin dan mempunyai anak kecil agar terus menyemai kasih sayang dan membentuk keluarga bahagia.

Tags / Kata Kunci: Sharimi Shaharudin
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan