Bila wifi tak ada 'password', boleh gunakah? Ini jawab mufti - Berita Semasa | mStar

Bila wifi tak ada 'password', boleh gunakah? Ini jawab mufti

Diterbitkan: Khamis, 8 November 2018 4:28 PM

Perkhidmatan bas GoKL memberikan perkhidmatan wifi percuma kepada penumpangnya. - Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dalam era teknologi masa kini, sambungan internet bukan lagi suatu kehendak, tetapi sudah menjadi keperluan terutama dalam kalangan generasi muda.

Kebanyakan premis perniagaan turut menyediakan kemudahan wifi sebagai salah satu cara untuk menarik pelanggan.

Walaupun kebanyakan premis memberikan kemudahan tersebut secara percuma, namun terdapat premis yang menetapkan kata laluan agar pengguna tidak sewenang-wenangnya menggunakan sambungan internet secara percuma.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui sebuah posting di laman Instagram memberikan penjelasan tentang hukum menggunakan wifi yang tidak diletakkan kata laluan oleh pelayar internet.

"Tidak dibolehkan untuk menggunakan wifi yang tidak diletakkan 'password' kecuali setelah mendapat keizinan daripada pemilik wifi tersebut.

"Namun, penggunaan tersebut adalah dibolehkan jika sekiranya kita mengetahui bahawa pemilik wifi tersebut reda dan mengizinkannya," jelas Dr Zulkifli.

Sementara itu, pengguna Instagram @beautytrulylife berterima kasih kepada mufti berkenaan kerana membangkitkan tentang perkara tersebut.

"Saya setuju ustaz. Iyalah tu kan hak orang, hukum tetap sama walau pusing macam mana pun, walau kaedah dalam zaman moden ni.

"Terima kasih ustaz bangkitkan isu ini," tulisnya pada ruang komen.

Bagaimanapun, @nea_adraa pula berkata, dia masih keliru dengan penjelasan oleh mufti tersebut kerana sebelum ini pernah bertanya tentang soalan sama kepada seorang ustaz, namun jawapan yang diberikan adalah bertentangan.

"Ustaz saya masih keliru sebab saya pernah tanya seorang ustaz, katanya dibolehkan sebab tuan (pemilik) tidak 'secure' dan kira (dianggap) dia membenarkannya.

"Sambungan internet dah masuk kawasan kita. Ibarat macam kita tanam rambutan, dahannya masuk ke dalam pagar atau kawasan rumah jiran.

"Andai jiran makan buah tersebut boleh je tanpa minta kebenaran tuan punya pokok. Mohon pencerahan ustaz," ujar wanita itu.

Gambar hiasan.

Manakala pengguna Facebook, Masri Ramli pula berkata, dia hairan dengan sikap segelintir pengguna media sosial yang mempertikaikan kesimpulan yang dibuat oleh mufti tersebut.

"Pelik sungguh banyak komen di 'page' ini. Mereka berhujah bahawa bila tak ada 'password', maksudnya kita boleh gunalah.

"Jika begitu hujah mereka, maka lepas ini, kalau ada orang tertinggal kunci dekat motosikal, kita boleh gunalah motosikal tu tanpa izin tuan punya motosikal.

"Kalau ada rumah pintunya terbuka tak kunci, kita bolehlah masuk rumah itu tanpa izin dan guna barang-barangnya. Nak juga pertahan tindakan guna harta orang tanpa izin," katanya.

Tags / Kata Kunci: Mufti , wifi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan