Gay tak semestinya terlibat liwat - Jakim - Berita Semasa | mStar

Gay tak semestinya terlibat liwat - Jakim

Diterbitkan: Selasa, 30 Oktober 2018 5:09 PM

Gambar hiasan. Foto newnownext.com

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Anggaran populasi gay di negara ini seramai 310,000 orang merupakan angka yang masih belum muktamad, kata Penolong Pengarah Kanan Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr Mohd Izwan Mohd Yusof.

Mohd Izwan yang juga pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Jakim berkata demikian bagi merujuk kenyataan beliau yang dipetik pada Isnin, berikutan angka tersebut masih belum dimuktamadkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Merujuk kepada kenyataan saya semalam berkenaan anggaran populasi gay di negara ini seramai 310,000, adalah angka yang masih prelim iaitu belum muktamad oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagaimana yang dipetik,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, Selasa.

Pada Isnin, laporan Bernama memetik Mohd Izwan sebagai berkata, sebanyak 310,000 golongan homoseksual terutama gay dicatatkan pada tahun ini berbanding 173,000 orang yang dicatatkan pada 2013, iaitu peningkatan hampir sekali ganda dalam tempoh lima tahun.

Dalam pada itu, Mohd Izwan berkata, gay menurut definisi oleh Blanch Consulting, adalah seorang lelaki yang memiliki tarikan sesama jenis dari sudut seksual, romantik dan fizikal.

Justeru katanya, seseorang yang dilabel gay tidak semestinya telah melakukan hubungan sesama jenis sama ada homoseksual atau liwat. 

“Golongan ini baru dianggap memiliki tarikan sesama jenis,” katanya, sambil menambah Jakim komited untuk melakukan usaha penerangan dan bimbingan melalui seminar dan program Mukhayyam dalam memberikan intervensi kerohanian kepada komuniti LGBT yang ingin mendapatkan bimbingan.

Pada masa sama, Mohd Izwan berkata, Jakim menyeru kepada masyarakat untuk bersama-sama mengukuhkan institusi kekeluargaan dan memantau perilaku anak-anak agar diberikan didikan dan penghayatan agama sebaik mungkin.

Turut dilaporkan pada Isnin, bagi golongan transgender pula, Mohd Izwan berkata dalam tempoh 20 tahun, jumlah golongan transgender menunjukkan peningkatan sebanyak 200 peratus iaitu sebanyak 30,000 orang pada tahun ini berbanding 10,000 orang pada 1988 dan kebanyakan daripada golongan ini bekerja sebagai pekerja seks. 

“Peningkatan itu boleh jadi pelbagai faktor kerana dengan keterbukaan mungkin satu sudutnya media sosial yang ada pada hari ini. Golongan muda mempunyai akses lebih banyak kepada internet dan media sosial.  

“Ini secara tidak langsung menggalakkan mereka lebih terbuka untuk akses kepada aplikasi mudah alih yang berkaitan dengan LGBT dan video-video yang tidak sepatutnya untuk mereka tonton,” katanya kepada pemberita selepas Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari, di George Town.

Mengenai program penyembuhan, beliau berkata, seramai 1,450 orang membabitkan komuniti LGBT telah menyertai program di bawah Jakim yang membantu memberi kesedaran kepada mereka untuk kembali kepada fitrah.

Tags / Kata Kunci: gay , LGBT , Jakim , liwat , Dr Mohd Izwan Mohd Yusof
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan