Di sebalik insiden mesin kedai dobi meletup, pengarah urusan dedah kisah sebenar! - Berita Semasa | mStar

Di sebalik insiden mesin kedai dobi meletup, pengarah urusan dedah kisah sebenar!

Diterbitkan: Rabu, 24 Oktober 2018 11:56 AM

Gambar keadaan kedai dobi selepas insiden letupan gas yang tular di media sosial.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR:  Insiden letupan sebuah dobi layan diri di Klang pada 4 Oktober lalu membuatkan Pengarah Urusan Kumpulan City Coin Laundry Sdn Bhd, Paul Ang terpanggil untuk memberi penjelasan.

Ang mendakwa, insiden yang menyebabkan kematian seorang lelaki, manakala anak perempuannya yang berusia 14 tahun cedera berpunca akibat sikap dan kelalaian pemilik operator francais itu sendiri.

“Orang ramai menyalahkan pihak kami gara-gara kejadian itu.

“Sebelum ini kami terpaksa berdiam diri bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas siasatan.

“Sebagai sebuah syarikat yang menjalankan perniagaaan dobi layan diri ini, sudah tentu kami mementingkan aspek keselamatan kepada pelanggan.

“Saya memang tidak akan bertoleransi dengan pemilik francais yang tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP)," kata Ang kepada mStar Online.

Menurut Ang, beliau turut bersimpati serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa insiden itu, sambil menegaskan pihaknya tidak akan berdiam diri untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi.

Paparan skrin salah satu daripada tiga email yang dihantar pada tiga tarikh berlainan bermula 13 April sehingga 3 September lalu.

“Sebenarnya pemilik operator di Klang itu sudah diberi tiga kali amaran untuk mengemas kini sistem gas yang digunakan dan perlu menggunakan sistem ‘standard’ seperti semua premis francais lain.

“Kami telah menghantar notis amaran penambahbaikan sistem gas di premis menerusi email kepada pemilik francais itu pada 13 April, diikuti pada 21 Ogos dan terbaharu 3 September.

“Dua email (21 Ogos dan 3 Sept) adalah untuk taklimat keselamatan 'Seminar Pemerkasaan Perundangan, Perlesenan dan Keselamatan Gas Bagi Pengusaha Dobi'.

“Seminar tersebut telah diadakan pada 26 September lalu. Namun pemilik operator itu tidak hadir,” tambahnya.

Jelas Ang, pihaknya juga tidak boleh memasuki premis dobi sewenang-wenangnya tanpa kebenaran pemilik operator.

“Insiden ini telah memaksa pihak kami mengambil tindakan tegas kepada semua pemilik premis di bawah syarikat kami.

“Sikap degil sesetengah pemilik francais telah memberi impak yang kurang baik kepada syarikat kami.

“Saya sudah menegaskan bahawa menjalankan perniagaan bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata, tetapi paling penting keselamatan premis itu sendiri.

“Kami terpaksa mengambil keputusan drastik menurunkan papan tanda dan menamatkan kontraknya sebagai operator yang tidak mengikut syarat dan arahan yang ditetapkan.

“Sebelum ini kami mungkin berlembut, tetapi selepas kejadian ini, saya tidak boleh berkompromi lagi, lebih-lebih lagi melibatkan nyawa pelanggan.

“Saya berharap dengan penjelasan ini, masyarakat dapat mengetahui status sebenar kejadian.

“Kami juga masih menunggu laporan siasatan mengenai punca sebenar letupan berlaku, sama ada ia berpunca daripada tong gas yang tidak mengikut SOP atau lain-lain perkara,” katanya.

Dalam kejadian itu, pegawai bomba mengesahkan punca kejadian adalah akibat masalah teknikal pada mesin pengering yang menyebabkan api menyambar bahagian belakang yang menempatkan tong gas.

Syarikat rangkaian dobi layan diri ini diperkenalkan sejak tahun 2013 dan sehingga kini terdapat 400 buah operator premis di seluruh Malaysia.

Untuk rekod, seorang mangsa lelaki berusia 43 tahun meninggal dunia akibat menderita melecur 73 peratus, manakala anak perempuannya yang berusia 14 tahun turut cedera selepas mesin pengering pakaian di dobi yang terletak di Jalan Setia Klang tiba-tiba meletup selepas mangsa menekan butang ‘start’.

Sementara itu, isteri dan bayi mangsa yang turut datang ke dobi tersebut terselamat kerana ketika kejadian mereka me­nunggu di dalam kereta.

Tags / Kata Kunci: kedai dobi , meletup , mesin pengering
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan