'Tak kan lah sebab pemandu teksi, Tun M nak letak jawatan' - Berita Semasa | mStar

'Tak kan lah sebab pemandu teksi, Tun M nak letak jawatan'

Diterbitkan: Isnin, 22 Oktober 2018 7:57 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: “Tak kan lah sebab pemandu teksi, Tun M (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) nak letak jawatan… Tak masuk akal langsung, “ katanya Presiden Pertubuhan Kesepakatan Pemandu Teksi, Kereta Sewa, Limo Premier Eksekutif Malaysia (Perjiwa), Zailani Isausuludin yang juga penganjur sesi dialog Perdana Menteri bersama pemandu teksi.

Zailani berkata, apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir itu ibarat kata pepatah pukul anak, sindir menantu.

“Orang yang sepatutnya diberi amanah (untuk selesaikan isu Grab dan teksi) tapi tak buat sehingga sekarang. PM dah berkali-kali cakap isu ini. Tapi setakat ini tak ada perkembangan yang baik. Kalau difahamkan dalam soal politik itulah maksud PM tadi.

“Bukan dia yang nak letak jawatan, tapi satu sindiran kepada menteri berkaitan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata ketika diminta mengulas tentang kenyataan Dr Mahathir yang mahu meletak jawatan semasa berlangsung sesi dialognya bersama pemandu teksi di Langkawi pagi Ahad selepas berlaku sedikit kekecohan apabila beberapa pemandu teksi melemparkan kata-kata kesat dan membuat bising serta keluar dewan.

Zailani berkata, pihaknya telah melakukan siasatan dan mendapati pemandu teksi yang melakukan kekecohan itu bukanlah ahli Perjiwa.

“Mereka sekitar lapan orang, masuk ke dalam dewan selepas beberapa waktu sesi dialog bermula, tidak lama kemudian salah seorang daripadanya bangun menzahirkan rasa tidak puas hati dan habis sahaja bercakap, mereka semua bangun terus keluar dewan.

“Kita memang tak boleh buat apa, tapi kekecohan itu seketika sahaja, kemudian sesi dialog berjalan lancar. Saya juga telah meminta maaf bagi pihak pemandu teksi itu, walaupun mereka bukan ahli Perjiwa dan Tun M senyum sahaja,” katanya.

Zailani berkata, pemandu teksi ini adalah pemadu dari beberapa stesen teksi di Langkawi dan Perjiwa tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan polis atas tindakan mereka menimbulkan kekecohan itu.

“Perbincangan masih lagi dijalankan dan akan kita putuskan nanti.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan kekecohan ini mempunyai unsur sabotaj, saya adalah Ketua Bahagian Bersatu Bukit Bintang dan mungkin juga ia berkait dengan politik,” katanya.

Dalam pada itu, Zailani menegaskan pihaknya faham pemandu teksi kini dalam keadaan tertekan kerana pendapatan mereka merudum hampir 90 peratus.

“Sebab itulah pertemuan demi pertemuan kita adakan bersama Tun M, ini adalah kali ke empat kita buat dan berharap menteri yang diamanahkan oleh PM dapat selesaikan isu ini.

“Antara yang diusulkan oleh Perjiwa kepada Tun M adalah supaya Grab dikeluarkan dari bumi Langkawi kerana Langkawi hanya ada penduduk seramai 105,000 orang dan pemadu teksi ada 1,600 orang . Jumlah itu cukup untuk menampung pelancong yang datang dan rata-rata penduduk Langkawi ada kenderaan sendiri,” katanya.

Sesi dialog yang berlangsung selama satu jam setengah bermula pukul 9 pagi itu dihadiri sekitar 300 pemandu teksi Langkawi dan turut dihadiri wakil-wakil persatuan teksi negeri.-Sinar Harian.

Tags / Kata Kunci: Teksi , Grab
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan