Netizen digesa henti kecam video cucu Zahid, "Dia terlalu muda untuk faham apa yang berlaku" - Berita Semasa | mStar

Netizen digesa henti kecam video cucu Zahid, "Dia terlalu muda untuk faham apa yang berlaku"

Diterbitkan: Isnin, 22 Oktober 2018 9:50 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Rata-rata netizen mempertahankan cucu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tular menerusi sebuah video, baru-baru ini.

Menerusi rakaman tersebut, cucu perempuan Zahid yang berusia sembilan tahun seolah-olah memberi amaran terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam penahanan bekas timbalan perdana menteri itu.

Video tersebut pada asalnya dimuat naik ke laman Instagram pada Sabtu.

Sejurus itu, ia tular menerusi platform media sosial yang lain sehingga kanak-kanak itu dihujani pelbagai komen jelik yang melampau termasuklah menerusi ruangan komen di sebuah portal berita.

Video di portal itu bagaimanapun dipadam selepas mendapat teguran Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Hannah Yeoh menerusi laman Twitter berkata, ibu-bapa seharusnya melindungi anak mereka, bukannya membiarkan video sebegitu dimuat naik ke Internet.

"Saya rasa kita patut hentikan perkongsian video sebegini. Dia terlalu muda untuk memahami apa yang berlaku.

"Ianya satu benda yang normal untuk seorang kanak-kanak mempertahankan datuk mereka.

"Orang dewasa sepatutnya lebih tahu dan tidak memanipulasi perasaan kanak-kanak. Dia tidak bersalah," tulis Ahli Parlimen Segambut itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwat turut senada dengan kenyataan Hannah Yeoh dan meminta orang ramai menghentikan gejala buli.

"Biarkan kanak-kanak itu, simpan kata-kata itu untuk anda," ujarnya.

Aktivis Hak Kanak-Kanak, Dr Hartini Zainudin turut mengkritik segelintir netizen yang menyerang kanak-kanak itu hanya kerana tidak bersetuju dengan ideologi politik keluarganya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan