Keracunan laksa: KKM sahkan bakteria sebagai punca - Berita Semasa | mStar

Keracunan laksa: KKM sahkan bakteria sebagai punca

Diterbitkan: Isnin, 22 Oktober 2018 7:49 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan agen penyebab keracunan makanan (KRM) laksa baru-baru ini berpunca daripada bakteria ‘salmonella enterica serovar weltevreden'.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian ‘Pulse Field Gel Electrophoresis' (PFGE) yang dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang hari ini mendapati bakteria tersebut dikesan dalam sampel klinikal pesakit serta sampel mi laksa.

“Bakteria tersebut dikesan daripada mi laksa yang dibeli pada 4 Oktober dari gerai terbabit. Mi laksa tersebut dihasilkan di premis pemprosesan milik pengusaha yang juga tuan punya gerai.

“Faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan berpunca dari proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih serta suhu penyediaan semasa pemprosesan selain suhu pemanasan semula mi laksa sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jumlah keseluruhan kes kekal 83 termasuk dua kematian susulan kejadian keracunan makanan yang berpunca dari memakan laksa yang dibeli di sebuah premis di Kupang, Baling, Kedah pada 8 Oktober lepas.

Mengikut pecahan, 34 kes termasuk dua kes kematian dilaporkan di Perak, 25 kes di Kedah dan 24 kes di Selangor, dengan kesemua yang dirawat telah dibenarkan pulang.

‘Salmonella enterica serovar weltevreden' merupakan salah satu serotaip bakteria ‘salmonella spp' yang boleh menyebabkan gejala seperti demam, muntah, sakit perut dan cirit birit berpunca daripada pencemaran makanan serta air.

Menurut Dr Noor Hisham, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Baling telah memaklumkan hasil keputusan siasatan ini kepada pemilik gerai terbabit.

“Gerai yang ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 pada 8 Okt boleh dibuka semula sekiranya mematuhi sepenuhnya Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan Kesihatan Makanan 2009 dan keperluan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
-- Bernama.

Tags / Kata Kunci: Keracunan Makanan , Laksa , KKM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan