Tanah runtuh: Tujuh mangsa ditemui - Berita Semasa | mStar

Tanah runtuh: Tujuh mangsa ditemui

Diterbitkan: Sabtu, 20 Oktober 2018 2:51 PM

Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat melakukan kerja-kerja mencari mangsa di kawasan tanah runtuh. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

GEORGETOWN: Operasi mencari dan menyelamat mangsa runtuhan tanah di tapak projek pembinaan jalan berkembar Paya Terubong (Jalan Bukit Kukus) memasuki hari kedua.

Setakat ini seramai tujuh mangsa berjaya ditemui dengan tiga daripadanya selamat dan mengalami kecederaan parah.

Manakala empat yang lain ditemui meninggal dunia di tempat kejadian akibat terperangkap dalam runtuhan tanah.

Difahamkan sekurang-kurangnya terdapat 10 mangsa terlibat dalam insiden tersebut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata, mereka berjaya ditemui dengan bantuan unit anjing pengesan (K9).

"Kita berjaya menemui mangsa ketujuh kira-kira pukul 11.30 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Sekarang kita masih teruskan pencarian dan penumpuan kita adalah di tempat yang berhampiran mangsa terakhir ditemui.

"Kita percaya mereka ini kemungkinan berada dekat antara satu sama lain berikutan mangsa yang kita temui pada awal pagi tadi juga ditemui berhampiran dengan mangsa sebelumnya," katanya.

Menurutnya, operasi pencarian kini tertumpu di kawasan sekitar tempat mangsa terakhir di temui.

Mengulas mengenai jumlah mangsa yang terlibat, beliau mengesahkan terdapat penambahan seorang lagi mangsa yang baru dilaporkan kehilangannya.

"Sebenarnya kita dapat maklumat daripada pihak polis dan pada masa sama ada rakan-rakan mangsa maklumkan pada kita ada lagi seorang (hilang).

"Di pihak kami memang kami akan mencari tiga orang lagi yang masih belum ditemui," katanya.

Ditanya mengenai keadaan cuaca yang hujan, beliau akan menangguhkan operasi untuk sementara waktu sekiranya perlu.

"Kita akan henti operasi kalau perlu. Keselamatan pasukan penyelamat akan diberi keutamaan," katanya.

Ketua Cawangan Operasi Kebombaan dan Penyelamat Putrajaya, Morni Mamat berkata, seramai 107 orang anggota dan pegawai dari Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Kedah terlibat dalam operasi tersebut.

"Operasi pencarian diteruskan berdasarkan sumber dan maklumat yang diperoleh daripada rakan-rakan mangsa," katanya.

Jelasnya, tempoh pencarian tidak dapat ditentukan akan mengambil masa berapa lama.

"Tetapi pihak bomba tetap berusaha mencari mangsa yang masih belum dijumpai.

"Saya berpendapat, peluang mangsa untuk hidup adalah tipis berdasarkan keadaan semasa. Kalau hidup pun ia suatu yang ajaib," katanya.

Lokasi kejadian runtuhan tanah ini berada kira-kira 500 meter dari lokasi insiden runtuhan rasuk yang berlaku pada minggu lalu.

Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada projek pembinaan jalan berkembar Paya Terubong yang berada dibawah penyelenggaraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Bagaimanapun, kerja-kerja pembinaan ditapak projek itu telah diarah henti untuk sementara waktu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat. - Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: Bukit Kukus , tanah runtuh
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan