6,000 doh roti canai guna logo halal tidak sah - Berita Semasa | mStar

6,000 doh roti canai guna logo halal tidak sah

Diterbitkan: Rabu, 17 Oktober 2018 8:59 PM

Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 6,000 biji doh roti canai dan 360 biji doh capati kerana menggunakan logo halal tidak sah dalam satu serbuan di sebuah syarikat di Setia Alam, Isnin lepas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata serbuan pada 10 pagi itu dilakukan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan ia adalah hasil aduan orang awam ke atas syarikat berkenaan yang telah beroperasi sejak sembilan bulan lepas.

“Ketika serbuan, sebanyak lapan pekerja asing didapati sedang membuat doh roti dan pemeriksaan menemui doh-doh roti canai tersebut yang dimuatkan dalam 60 kotak manakala doh-doh capati dibungkus dalam 12 kotak. Kesemuanya dianggarkan bernilai RM3,063.

“Siasatan awal mendapati pemilik syarikat itu sengaja mempamerkan logo halal pada kotak pembungkusan sedangkan mereka tidak pernah memohon sijil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media, Rabu.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali.

Azman berkata pemeriksaan lanjut turut menemui 1,772 kotak kosong tertera logo halal Jakim disimpan di dalam premis tersebut dipercayai untuk membungkus doh roti canai dan capati bagi edaran pasaran di sekitar Selangor.

Katanya, seorang lelaki tempatan berumur 30-an dipercayai pemilik syarikat itu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Difahamkan, doh roti canai itu dijual pada harga RM20 sekotak yang mengandungi 100 biji, manakala RM10 bagi setiap kotak capati mengandungi 30 biji doh.

Azman berkata kesemua barangan itu dirampas mengikut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan 2011 (Perakuan  and  Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Wan Najmiah berkata pihaknya mengesan sebanyak 16 syarikat melakukan kesalahan penggunaan logo halal tidak sah di negeri ini sejak 2015.

“Lazimnya, selepas menerima aduan dan maklumat awam, kita akan memeriksa status logo digunakan syarikat itu sama ada dimohon daripada Jakim atau sebaliknya,” katanya yang turut memaklumkan JAIS akan terus bekerjasama dengan KPDNHEP bagi memastikan perkara itu dipatuhi peniaga.-Bernama

Tags / Kata Kunci: doh , roti canai
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan