Sindiket Macau Scam meningkat, kerugian RM98.3 juta - Berita Semasa | mStar

Sindiket Macau Scam meningkat, kerugian RM98.3 juta

Diterbitkan: Rabu, 17 Oktober 2018 7:34 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,627 kes Macau Scam yang membawa kerugian bernilai RM98.3 juta dicatatkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber and Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM SAC Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, jumlah itu meningkat berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu sebanyak 862 kes yang mencatat kerugian berjumlah RM 25.8 juta.

“Statistik ini menunjukkan berlaku peningkatan terhadap kes-kes Macau Scam. Ini turut menunjukkan bahawa sama ada rakyat kita ini peka atau tidak (tentang jenayah Macau Scam).

Hakikatnya tidak. Mereka mudah terpedaya dan senang percaya dengan mana-mana panggilan terutama daripada polis (PDRM) atau mana-mana agensi tertentu,” katanya ketika ditemu bual dalam satu ruang bicara khas oleh sebuah stesen televisyen tempatan.

Menurut Ahmad Noordin, membayar saman melalui panggilan telefon antara modus operandi (MO) yang diamalkan oleh penjenayah bagi menakutkan mangsa

“Jika anda menerima panggilan (Macau Scam), terus ke balai polis terdekat untuk membuat laporan. Belum pernah polis menyuruh untuk membuat bayaran saman melalui mesin ATM (mesin pengeluaran wang automatik),” katanya.

Selain itu, Ahmad Noordin turut menyatakan perasaan tamak, perasaan takut dan mudah mempercayai orang lain menjadikan rakyat di Malaysia mudah terpedaya dengan taktik yang dilakukan penjenayah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Zulkarnain Mohd Yasin berkata selain panggilan telefon, Macau Scam turut hadir melalui aplikasi-aplikasi telefon pintar seperti WeChat dengan menawarkan pelbagai tawaran lumayan seperti pembelian barangan dalam talian dengan harga yang lebih murah.

“Apa yang penting, pengguna harus lebih peka, prihatin dan semak terlebih dahulu sebelum klik. Pengguna juga perlu memahami tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) PDRM atau mana-mana agensi supaya tidak ditipu oleh panggilan yang mengaku polis. Jenayah Macau Scam juga sentiasa berubah mengikut keadaan,” katanya.

Selain itu, Zulkarnain berkata, orang ramai sering mengutamakan kualiti teknologi berbanding aspek keselamatan teknologi.

“Empat puluh dua juta pengguna internet (akaun) terdedah dengan risiko penipuan. Aspek keselamatan juga penting bagi mengelak kita daripada menerima panggilan yang tidak dikenali ataupun pautan di web (laman sesawang) yang membawa kita ke jenayah ‘scammer',” katanya.
-- BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Macau Scam , PDRM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan