Kaviti gigi penyebab kemurungan - Berita Semasa | mStar

Kaviti gigi penyebab kemurungan

Diterbitkan: Selasa, 16 Oktober 2018 9:34 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Masyarakat dinasihatkan lebih prihatin terhadap penjagaan kesihatan mulut dan gigi dalam mewujudkan komuniti bebas kaviti menjelang 2026.

Pengerusi Alliance for a Cavity Free Future (ACFF) Malaysia, Professor Dr Rahimah Abdul Kadir berkata, isu kesihatan gigi dan mulut merupakan salah satu punca baharu masalah kemurungan di negara ini.

Menurutnya, selain itu penyakit yang melibatkan mulut dan gigi juga dilihat sebagai satu penyakit berjangkit yang boleh merebak, melalui gaya pemakanan serta penjagaan kesihatan mulut tidak konsisten.

“Apabila seseorang itu ada masalah mulut dan gigi, estetika muka mereka akan berubah, senyuman pun tak manis, rendah diri dan sentiasa menutup muka mereka.

“Malah ada juga yang tak nak bercakap dengan orang, itu juga antara risiko faktor kemurungan.

“Apabila mereka berkelakuan begitu terutama kanak-kanak, ia akan mendatangkan masalah di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran World Cavity-Free Future Day di Pejabat Kesihatan Negeri, semalam.

Katanya, hasil kajian mendapati 90 peratus golongan dewasa alami masalah gigi dan diikuti remaja sebanyak 70 peratus.

Jelasnya, kemelut ini perlu dipandang serius semua pihak agar tidak menjadi punca peningkatan masalah kemurungan di negara ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, kerajaan negeri menyambut baik kempen kanak-kanak bebas kaviti 2026, sebagai usaha membentuk generasi Malaysia yang bebas kaviti karies.

Katanya, kempen ini menyasarkan tiada kaviti karies pada gigi susu dan gigi kekal bagi kanak-kanak yang lahir mulai 2026, dan status ini kekal sepanjang hayat.

Mengikut laporan statistik, 60 hingga 90 peratus kanak-kanak di seluruh dunia menghidap karies gigi atau dikenali sebagai gigi berlubang.

Katanya, kaviti karies ini boleh dicegah dengan penjagaan kesihatan mulut dengan baik, kawal plak gigi danpemakanan efisien serta lawatan pemeriksaan ke klinik gigi setahun sekali. - Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: kaviti , gigi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan