Enjin bermasalah, paraglider maut terjatuh sungai - Berita Semasa | mStar

Enjin bermasalah, paraglider maut terjatuh sungai

Diterbitkan: Sabtu, 13 Oktober 2018 1:15 PM

Foto Twitter bernamanewsch

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang paraglider maut selepas terjatuh ke dalam Sungai Muda apabila enjin paraglidingnya mengalami masalah ketika menjalankan aktiviti tersebut di Dataran Dato Ali Yahaya di Kuala Muda, pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki berumur 30 tahun itu yang merupakan anggota persatuan paraglider berdaftar dan berkelayakan, datang menjalankan aktiviti bersama seorang lagi rakannya pada pukul 8 pagi.

"Bagaimanapun lebih kurang lima minit selepas terbang, enjin paraglider mangsa mengalami masalah hingga menyebabkan mangsa jatuh ke dalam sungai.

"Orang kampung yang ternampak cuba membantu mangsa dan mangsa telah dijumpai lebih kurang satu kilometer dari tempat dia terjatuh selepas dibawa arus sungai," katanya dalam kenyataan, Sabtu.

Adzli berkata siasatan awal mendapati mangsa mendapat kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam untuk melakukan penerbangan. Enjin paragliding tersebut akan dihantar ke agensi berkaitan untuk diperiksa bagi mengetahui punca kejadian.

Kes berkenaan disiasat sebagai mati mengejut. - Bernama

Tags / Kata Kunci: paraglider
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan