Siapa hebat? 20 pasukan dari Malaysia, Singapura, Brunei berentap dalam Kejohanan PUBG MY/SG 2018 - Berita Semasa | mStar

Siapa hebat? 20 pasukan dari Malaysia, Singapura, Brunei berentap dalam Kejohanan PUBG MY/SG 2018

Diterbitkan: Jumaat, 12 Oktober 2018 7:10 PM

Sebanyak 20 pasukan bakal berentap pada pusingan akhir, Kejohanan Malaysia/Singapura (MY/SG) 2018, 13 dan 14 Oktober ini.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 pasukan dari tiga negara bakal berentap bagi merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM40,000 dalam kejohanan permainan ‘online’ popular dari Korea Selatan, PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG).

Kesemua pasukan ini akan bersaing dalam kejohanan PUBG terbesar di Malaysia bagi pusingan akhir, Kejohanan Malaysia/Singapura (MY/SG) 2018.

Acara anjuran Geek Events, anak syarikat pengurusan e-sukan, K&K Revolution Sdn Bhd ini bakal berlangsung selama dua hari di Battle Arena Malaysia di pusat membeli-belah Jaya, Petaling Jaya, pada Sabtu dan Ahad ini.

PlayUnknown's Battleground. Foto trustedreviews

Pengarah majlis untuk Kejohanan PUBG MY/SG 2018, Johnson Goh berkata, kejohanan itu bertujuan untuk mengembangkan komuniti PUBG di Malaysia, Singapura dan Brunei dengan membuka peluang untuk mengasah kemahiran mereka dalam pertandingan ini secara rasmi.

Goh berkata, penganjuran kejohanan tersebut menarik kira-kira 160 penyertaan dari tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Singapura.

"Daripada jumlah itu, 100 pasukan bersaing secara dalam talian, sejak berminggu-minggu yang lalu dan kita memilih 20 pasukan dipilih untuk mara ke pusingan akhir.

"Sebanyak 16 pasukan dari Malaysia, manakala tiga pasukan dari Singapura dan satu pasukan dari Brunei akan bersaing di pentas akhir," katanya ketika ditemui mStar Online selepas majlis memperkenalkan 20 pasukan yang layak ke pusingan akhir, di pusat beli-belah Lot 10 di sini, Jumaat.

Johnson Goh.

Turut hadir, Pengasas Geek Fam, syarikat latihan pasukan di bawah K&K Revolution, Keat Kuang Lim dan pengarah kejohanan, Kevin Wong.

Johnson berkata, empat pasukan teratas akan dihantar sebagai wakil untuk menyertai Kejohanan JIB PUBG Asia Tenggara di Bangkok.

"Pada mulanya kita hanya menetapkan tiga pasukan sahaja yang layak ke kejohanan di Bangkok, tetapi selepas mendapat sambutan di luar jangkaan, kita menambah satu lagi pasukan untuk melayakkan diri.

"Malah, kita menaikkan nilai hadiah wang tunai keseluruhan dari RM30,000 kepada RM40,000," katanya sambil menambah penyertaan kejohanan PUBG di ibu negara Thailand itu bakal menyaksikan empat pasukan yang layak, bakal merebut hadiah wang tunai keseluruhan AS$100,000 (RM415,454).

Pasukan Lapar Esports antara 16 kumpulan dari Malaysia.

Bagi Kejohanan PUBG MY/SG 2018, tempat pertama akan memenangi hadiah wang tunai RM16,000, tempat kedua RM8,000 dan RM6,000 (ketiga).

Selain itu, pasukan yang menduduki tempat keempat sehingga kelapan, masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000; RM2,400; RM1,600; RM1,200 dan RM800.

Sementara itu, ketua pasukan salah satu pasukan dari Malaysia, Lapar Esports, Muzammil Mudzakir berkata, pihaknya telah menyertai kira-kira 10 kejohanan PUBG termasuk di Bangkok.

Best Made Warriors (BMW), antara tiga pasukan dari Singapura.

Pemuda berusia 28 tahun ini berkata, kejohanan kali ini begitu berbeza kerana ia menghimpunkan pasukan baharu dan lama dalam permainan dalam talian.

"Walaupun ada pasukan yang baharu, tapi kami nampak mereka cukup berpotensi. Saya melihat ada saingan sengit dalam kejohanan kali ini," katanya.

Bagi Jayson Hu Jianle, ketua pasukan Best Made Warriors (BMW), 30, ini bukan pertama kali kumpulannya mewakili Singapura dalam menyertai kejohanan e-sukan yang dianjurkan di Malaysia.

"Kali ini sudah kali keempat, tapi setiap kejohanan sentiasa ada cabaran baharu. Saya melihat terdapat perbezaan corak permainan antara pasukan Malaysia dan Singapura, sekali gus memberi cabaran buat kami untuk bertanding," katanya.

Tags / Kata Kunci: PUBG , PlayerUnknown's Battleground , e-sukan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan