Makan roti dengan marjerin punca jerawat? Ini jawab Kevin Zahri - Berita Semasa | mStar

Makan roti dengan marjerin punca jerawat? Ini jawab Kevin Zahri

Diterbitkan: Khamis, 11 Oktober 2018 2:43 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Perunding kesihatan, pemakanan dan kecergasan, Kevin Zahri menangkis dakwaan yang tular di media sosial bahawa pengambilan roti dan marjerin sebagai punca masalah jerawat.

Kevin berkata kenyataan tersebut tidak tepat kerana setiap individu mempunyai hormon yang berbeza-beza.

"Bagi saya orang dah makan roti dan majerin dah bertahun-tahun lamanya. Ada orang yang bermasalah, ada yang tidak.

"Sebagai contoh, saya sendiri tidak pernah ada masalah jerawat kalau makan roti dan majerin.

"Jadi tidak adil hanya buat kesimpulan kerana seorang atau dua orang atau 20 peratus berjerawat jika makan roti bersama majerin, maka semua orang perlu elak makan makanan tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Beliau berkata punca jerawat sebenarnya disebabkan pelbagai faktor.

"Secara hormonnya, jerawat boleh disebabkan oleh pengambilan protein, gluten dan juga stress. Jadi ia tidak semudah dengan hanya kata satu atau dua perkara menyebabkan masalah jerawat," katanya.

Bagaimanapun jelas Kevin, mereka yang mengalami masalah jerawat selepas makan roti dan majerin dinasihatkan agar mengelak makan kedua-dua makanan itu.

Posting yang ditulis pengguna akaun Twitter @shazmiejo dikecam hebat.

"Pengalaman setiap orang berbeza, ada yang makan roti timbul jerawat dan ada pula yang tidak.

"Bagi saya senang sahaja ikutlah pengalaman sendiri. Mungkin boleh cuba brown bread atau cari makanan bebas gluten secara amnya," kata Kevin.

Kevin turut menasihati orang ramai supaya jangan cepat terpengaruh dengan dakwaan tersebut.

"Sudah tentu individu yang nak menjual sesuatu produk ini dia akan cuba menimbulkan fakta untuk dapat perhatian orang ramai.

"Jangan cepat terpedaya. Sama juga dengan produk weight loss dan kesihatan. Bermacam-macam dakwaan dibuat untuk melariskan produk mereka tetapi ianya tidak semudah itu," katanya.

Baru-baru ini tular di Twitter apabila pengguna akaun @shazmiejo mendakwa roti dan marjerin antara punca penyebab jerawat.

Dakwaan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengan ramai menyifatkan ia sebagai tidak berasas.

@kazudera berkata: "Saya rasa berkongsi maklumat memang bagus tapi pastikan sumbernya dari mana, okay? Kita tidak mahu orang awam salah faham dengan apa yang kita cakap. Banyak penyelidikan perlu dilakukan. Punca jerawat ada banyak, terutama hormon dan persekitaran."

@yayabaidzawi berkata: "Lepas bersalin memang selalu makan roti jagung gardenia tu orang kata untuk tambah susu badan. Sekarang dah 3 bulan, muka masih bersih dari jerawat. Adakah kena berhenti makan sekarang?."

Tags / Kata Kunci: roti , majerin , jerawat
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan