Oktoberfest tak sesuai dianjurkan - Berita Semasa | mStar

Oktoberfest tak sesuai dianjurkan

Diterbitkan: Khamis, 11 Oktober 2018 7:48 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Program pesta arak Oktoberfest 2018 yang dijadualkan berlangsung pada Khamis di ibu negara tidak sesuai diadakan walaupun ia hanya untuk orang bukan Islam.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ia tidak bertepatan dengan kehendak moral dan majoriti masyarakat di negara ini.

Katanya, ini kerana Islam merupakan agama rasmi negara seperti yang tercatat di dalam perlembagaan negara.

"Sebagai sebuah negara dengan Islam sebagai agama rasmi, penganjuran pesta seperti itu adalah tidak sesuai walaupun ia hanya untuk orang bukan Islam.

"Terserah kepada orang bukan Islam untuk minum minuman keras dan sebagainya kalau dalam agama mereka tidak dihalang, tetapi penganjuran pesta itu adalah satu (yang) boleh mencemarkan nama baik negara memandangkan Islam sebagai agama persekutuan dan agama lain boleh diamalkan secara aman," katanya.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad memberi lampu hijau penganjuran pesta itu jika penganjur membuat permohonan bagi mendapatkan permit dan mematuhi semua garis panduan ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, antara garis panduan yang perlu dipatuhi penganjur ialah orang Islam tidak dibenarkan terlibat dan tidak dijalankan di tempat terbuka.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri berkata, penganjuran pesta itu dianggap sudah keterlaluan dan menampakkan tiada rasa hormat kepada penganut-penganut Islam.

"Ia seolah-olah ingin mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

"Walaupun orang Islam tidak dibenarkan menyertainya, dari segi permuafakatan, orang bukan Islam dan Islam sepatutnya perlu mewujudkan keharmonian dan saling hormat-menghormati," katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana pesta itu boleh dilakukan secara tertutup.

"Tertutup macam mana kalau dah namanya pesta? Kalau pesta, ia tak jadi tertutup. Tertutup itu barangkali tertutup yang tidak boleh dihadiri orang Islam, tetapi sensitiviti umat Islam seharusnya dipelihara dan diberi rasa hormat kita," katanya.

Oktoberfest 2018 yang berasal dari Jerman dikatakan akan diadakan di Mid Valley, Kuala Lumpur, dengan pengisian festival makanan, hiburan, muzik dan arak.

Pada 2017 , penganjur membawa 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat pengusaha arak (breweries) untuk memenuhi citarasa pengunjung.

Penyertaan adalah dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, England, Scotland, Belgium, Germany, Denmark, Norway, Japan, Thailand dan Vietnam.- SINAR HARIAN.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan