"Produk mereka tular, saya dapat malu" - 'Sekmung' insaf, dedah pernah diugut buang negeri - Berita Semasa | mStar

"Produk mereka tular, saya dapat malu" - 'Sekmung' insaf, dedah pernah diugut buang negeri

Diterbitkan: Selasa, 9 Oktober 2018 9:10 AM

Ervan Rezuan atau lebih dikenali sebagai 'Sekmung' di media sosial.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Personaliti media sosial, Ervan Rezuan yang baru sahaja mengumumkan keputusannya untuk berhenti membuat video parodi berperwatakan wanita meluahkan rasa kecewa dengan respon sebilangan netizen yang mempertikaikan hasrat murninya itu.

Menerusi satu pertemuan eksklusif bersama mStar Online pada Isnin, Ervan atau lebih dikenali sebagai 'sekmung' kerana sering menggunakan 'hashtag' tersebut dalam postingnya mengambil kesempatan memperjelaskan hasrat penghijrahannya serta ilham di sebalik keputusan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN:Selamat tinggal ‘perempuan gedik’, malu jadi wanita, ‘sekmung’ bakar baju dan rambut palsu
ARTIKEL BERKAITAN:Lebih 100 'Resume' Lamar Ervan Rizuan

Menurut pemuda berusia 25 tahun itu, terdapat desas-desus mendakwa dia sengaja mencari pendapatan dengan cara mudah dengan menjadi wanita bagi melangsaikan hutang-hutangnya sebelum ini dan kini kembali berubah berpenampilan lelaki apabila semua hutangnya itu telah langsai.

"Hasrat untuk berhenti buat video berperwatakan wanita ni timbul selepas sambutan Aidilfitri Jun lalu, niat tu datang dari diri sendiri juga, tapi perlahan-lahan saya ubah.

"Kesedaran juga timbul sebab memikirkan ibu-bapa, mereka selalu nasihat supaya jangan pakai pakaian perempuan.

"Tapi timbul pula kata-kata kurang enak cakap saya buat parodi selama ni untuk cari duit mudah sebab nak langsaikan hutang. Bila dah selesai semua hutang, sekarang saya berubah jadi lelaki balik," katanya.

Dia sebelum ini sering memuat naik parodi berpakaian wanita di laman sosial sebelum memutuskan untuk menghentikan perbuatan itu baru-baru ini.

Menurut Ervan lagi, perubahan itu turut memberi kesan apabila lebih 10 syarikat membatalkan hasrat mereka untuk menggunakan khidmatnya dalam membuat promosi produk.

Namun, dia nekad untuk berubah dan percaya rezeki itu merupakan aturan Allah dan langsung tidak bimbang dengan keputusan yang telah dibuatnya.

"Kebanyakannya adalah pihak hotel, produk kecantikan serta makanan, mereka mahu saya bawa watak perempuan dalam video promosi.

"Bila saya fikir balik, produk mereka yang akan tular sedangkan saya yang dapat malu dan menerima kesan buruk atas perbuatan tersebut," kata Ervan lagi.

Dia yang mula dikenali ramai menerusi video Dubsmash sekitar 2014 turut berkongsi suka duka sepanjang bergelar selebriti media sosial.

Walaupun sudah terbiasa dikeji dengan kata-kata kurang menyenangkan, dia mengakui ada kalanya turut bersedih dengan perkara itu.

Ervan sewaktu ditemu bual oleh mStar Online di Menara Star pada Isnin.

"Yang paling saya sedih pastinya apabila dituduh memalukan negeri kelahiran saya, negeri Terengganu. Itu paling saya tak suka.

"Sampai satu ketika, ada satu laman Facebook milik bekas menteri besar keluarkan kenyataan mengenai saya, kononnya untuk dibuang negeri.

"Masa tu saya sangat malu dan sedih sampai tak keluar rumah. Selepas diselidik, baru saya tahu yang kenyataan itu bukan dari mulut menteri besar, sebaliknya ditulis oleh admin, pengendali laman Facebook tersebut," jelasnya.

Menerusi laporan mStar Online pada 28 September lalu, Ervan mengumumkan keputusannya untuk berubah dengan membakar baju-baju wanita serta rambut palsu miliknya.

Dia yang memiliki hampir 400,000 ribu pengikut di laman Instagram turut dikenali ramai dengan tagline 'sekmung' dan sering membuat video parodi serta reviu produk dengan mengenakan pakaian wanita.

Tags / Kata Kunci: Ervan Rezuan , Sekmung , watak perempuan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan