Stevie buat laporan polis terhadap Anwar - Berita Semasa | mStar

Stevie buat laporan polis terhadap Anwar

Diterbitkan: Isnin, 8 Oktober 2018 3:35 PM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Calon Bebas Stevie Chan Keng Leong membuat laporan polis kerana mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melanggari Akta Pilihan Raya 1954.

Chan merujuk beberapa projek yang diumumkan Anwar dalam kempen pilihan rayanya termasuk pembinaan sebuah resort bertaraf lima bintang, sekolah penerbangan dan program pendidikan untuk pelajar.

"Bagi saya ini jelas melanggar undang-undang," katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Port Dickson di sini Isnin.

Chan meninggalkan balai polis itu sebelum wartawan bertanya lebih lanjut mengenai laporan dibuatnya dengan pembantunya mendakwa dia perlu bergegas ke majlis lain.

Dalam satu kenyataan media, Chan berkata dia merujuk kepada portal berita www.pdtuition.com yang dilancarkan Anwar Khamis lalu.

Portal tersebut merupakan inisiatif kolektif persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dari pelbagai sekolah di sini serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dengan melancarkan portal pendidikan, Chan menuduh Anwar telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10(a) dan (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Saya membuat laporan polis ini kerana saya melihat budaya pemberian hadiah dan membuat janji manis yang telah mencemarkan proses pilihan raya kita selama bertahun-tahun berterusan sehingga hari ini.

"Kita mesti berdiri teguh untuk memastikan Malaysia Baharu yang dibina pada 9 Mei masih bersih dan bebas daripada politik lama," kata Chan.

Tags / Kata Kunci: Stevie Chan , Anwar Ibrahim
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan