Cabaran berurusan di kaunter Imigresen, terpaksa beratur tiga hari hanya untuk nombor giliran - Berita Semasa | mStar

Cabaran berurusan di kaunter Imigresen, terpaksa beratur tiga hari hanya untuk nombor giliran

Diterbitkan: Rabu, 26 September 2018 9:29 AM

Ramai pelanggan beratur panjang bagi mendapatkan nombor giliran di pejabat imigresen di Shah Alam.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tiga hari, itulah yang terpaksa dilalui seorang warga asing dan mungkin kebanyakan pelanggan di pejabat Imigresen Selangor, Shah Alam, semata-mata untuk mendapatkan nombor giliran bagi memenuhi urusan mereka.

Seperti Salman (bukan nama sebenar), seorang warga India berusia 44 tahun terpaksa menghabiskan masa tiga hari sebelum dapat memperbaharui visa di kaunter jabatan itu di Kompleks PKNS.

"Jumaat lalu, saya datang pada pukul 7.30 pagi masa ia memulakan operasi tapi sudah ramai yang beratur untuk mengambil nombor giliran. Selepas sejam saya diberitahu, nombor giliran sudah habis.

"Saya datang lagi pada Isnin dan kali ini lebih awal iaitu pukul 6.45 pagi, selepas lebih dua jam, saya hampa bila diberitahu nombor giliran sudah habis.

"Hari ketiga hari ini (Selasa), sekali lagi saya ke pejabat imigresen di Shah Alam, dan kali ini datang jauh lebih awal pukul 4.30 pagi, barulah dapat membuat permohonan pembaharuan visa," katanya kepada mStar Online.

Salman yang berkahwin dengan rakyat Malaysia selama kira-kira 10 tahun memberitahu, bukan dia seorang sahaja berdepan dengan kesulitan itu bahkan beberapa 'muka yang sama' ditemuinya sepanjang tiga hari 'beratur'.

Bapa kepada seorang anak perempuan itu berkata, lebih menyedihkan kesesakan tersebut turut dihadapi pelanggan-pelanggan yang terdiri daripada warga emas, wanita mengandung termasuk mereka yang membawa anak kecil.

"Sudahlah mereka datang awal, terpaksa berdiri lama. Sedangkan saya yang masih kuat dan bertenaga pun perlu berasak-asak, inikan pula mereka.

"Bila pintu (pejabat imigresen) dibuka, daripada beratur pada awalnya terus semua serbu. Ada seorang wanita yang bawa anak kecil antara yang terawal beratur di depan, tetapi sebaik pintu dibuka dan semua berebut, dia sudah ketinggalan ke belakang," katanya dengan nada kesal.

Kecewa dengan keadaan tersebut, ahli perniagaan itu menyifatkan ia tidak ubah seperti layanan 'negara dunia ketiga' buat warga asing yang mahu bekerja atau menetap di negara ini.

Tambahnya, dengan satu kaunter itu dan ratusan yang beratur, hanya kira-kira suku daripada jumlah itu dikatakan bernasib baik kerana mendapat nombor giliran.

"Dari tingkat bawah sehingga ke tingkat dua di pejabat imigresen, sesak dengan orang. Tak nak datang setiap hari hanya untuk ambil nombor giliran.

"Perlu ada satu sistem yang lebih teratur bagi memudahkan pelanggan. Sebagai salah satu agensi kerajaan, Jabatan Imigresen seharusnya memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam," ujar Salman.

Mengulas mengenai rungutan itu, Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi memberitahu mStar Online bahawa jumlah pelanggan di luar jangkaan setiap hari dengan ruang yang terhad di cawangan itu mengakibatkan kesesakan, dan kebiasaannya nombor giliran dikeluarkan sehingga 300 pelanggan sehari.

Namun katanya, Imigresen Selangor mengambil perhatian berhubung isu berkenaan dengan membuat penambahbaikan seperti membuat pengasingan bagi kes tertentu yang mengambil masa lebih singkat untuk diselesaikan seperti pembaharuan pas.

"Bagi kes atau proses permohonan yang mengambil masa seperti visa, pelanggan yang tidak mendapat nombor giliran akan diberikan tarikh temujanji untuk memudahkan mereka datang kembali berurusan tanpa perlu hadir setiap hari.

"Pengasingan itu juga memberi keutamaan kepada pelanggan-pelanggan khas seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan wanita mengandung," katanya sambil menambah turut dipertimbangkan adalah pegawai ditugaskan di laluan beratur bagi mengawal kesesakan.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri menasihatkan hanya pelanggan yang terlibat termasuk ahli keluarga atau pihak sebagai sokongan permohonan sahaja perlu hadir ke pejabat imigresen untuk berurusan bagi mengurangkan kesesakan.

"Orang awam juga seharusnya merancang setiap permohonan atau pembaharuan dokumen mereka. Jangan tunggu saat akhir baru nak datang ke imigresen.

"Imigresen Selangor memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku. Diharapkan orang awam memberikan kerjasama. Kita sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan, pada masa sama mementingkan keselamatan termasuk dari segi pemeriksaan permohonan mereka," katanya.

Tags / Kata Kunci: imigresen , visa
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan