Kematian keracunan metanol meningkat kepada 37 orang - Berita Semasa | mStar

Kematian keracunan metanol meningkat kepada 37 orang

Diterbitkan: Rabu, 26 September 2018 7:44 AM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Empat lagi kematian akibat keracunan metanol dilaporkan, dengan tiga dari Selangor dan satu di Kuala Lumpur, menjadikan jumlah terkini kematian yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkat kepada 37 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kematian yang dilaporkan daripada kemudahan KKM sehingga 12 tengah hari Selasa, 23 kes direkodkan di Selangor, 11 di Kuala Lumpur dan tiga di Perak.

Berdasarkan kewarganegaraan, kematian melibatkan dua warga Bangladesh, dua (India), 11 (Myanmar), lapan (Nepal), 10 (Malaysia) dan empat lagi tidak diketahui kewarganegaraan.

Dr Noor Hisham berkata KKM menerima 93 notifikasi kes keracunan metanol daripada kemudahan kesihatannya sejak 15 September hingga 12 tengah hari tadi.  

"Sejak 12 tengah hari 23 September sehingga 12 tengah hari tadi, enam notifikasi kes baharu diterima melibatkan empat dari Perak dan satu (kes) masing-masing dari Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

"Dengan pertambahan ini menjadikan jumlah kes keracunan metanol di Kuala Lumpur adalah 17 kes, Negeri Sembilan meningkat kepada dua kes manakala Selangor dan Perak kekal masing-masing 62 dan 12 kes,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah yang dicatatkan menerima rawatan di hospital, lapan didapati stabil dan dibenarkan pulang.

Sebanyak 23 pesakit masih lagi menerima rawatan di 12 hospital sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, daripada 23 pesakit yang masih menerima rawatan di hospital, lapan pesakit adalah kes kritikal. 

"KKM akan terus memantau situasi dan mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi menangani kejadian ini," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: metanol
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan