Azeez Rahim dan adik ditahan, Riza Aziz dipanggil SPRM - Berita Semasa | mStar

Azeez Rahim dan adik ditahan, Riza Aziz dipanggil SPRM

Diterbitkan: Selasa, 25 September 2018 2:14 PM

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Ahli Parlimen Baling dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim serta adiknya, Latiff.

Sumber berkata, dua beradik itu akan didakwa pada Rabu atas kesalahan pengubahan wang haram.

Pada 23 Mei, SPRM menyerbu kediaman dan pejabat Abdul Azeez serta menyita wang tunai bernilai RM500,000, 20 jam tangan dan beberapa barangan kemas.

Bekas Pengerusi Tabung Haji tersebut mendakwa wang berkenaan merupakan peruntukan Umno dan beberapa mata wang asing adalah dari Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

Terdahulu, Abdul Azeez hadir ke ibu pejabat SPRM dipercayai bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Serbuan SPRM dilakukan kerana Abdul Azeez dikatakan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan projek di bawah seliaan kerajaan terdahulu bagi syarikat berkepentingan dengannya.

Malah, beliau juga dipercayai memperoleh komisen daripada syarikat projek selepas syarikat terbabit berjaya mendapat projek itu.

Selain Abdul Azeez, turut kelihatan anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz yang berada di bangunan itu seawal jam 9.30 pagi.

Ini kali keempat Riza, 41, merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Red Granite Pictures, yang didakwa menerbitkan filem The Wolf Of Wall Street menggunakan wang yang diselewengkan daripada 1MDB, dipanggil memberi keterangan. - The Star/ Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: Azeez Rahim , Riza Aziz
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan