AMK buat laporan SPRM, dakwa setiausaha politik salah guna kuasa - Berita Semasa | mStar

AMK buat laporan SPRM, dakwa setiausaha politik salah guna kuasa

Diterbitkan: Selasa, 25 September 2018 1:47 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan Ahmad Syukri Che Ab Razab membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa seorang setiausaha politik di sebuah kementerian.

Ahmad Syukri berkata individu yang disifatkan sebagai seorang cukup 'senior' serta turut bertanding bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ketua cabang itu didakwa melakukan perbuatan itu pada satu mesyuarat yang dipercayai berlangsung 1 September lalu.

"Dalam mesyuarat tersebut, setiausaha politik terbabit telah menawarkan kontrak pembangunan atau pembaikpulihan infrastruktur bernilai RM20,000 kepada setiap pemimpin-pemimpin setempat yang hadir.

"Individu itu juga memaklumkan bahawa beliau akan mendapat peruntukan RM300,000 dari sebuah kementerian lain yang perlu dihabiskan hujung tahun ini selain bakal mendapat kontrak dari satu lagi kementerian yang akan diagihkan kepada pemimpin setempat," katanya.

Bercakap kepada pemberita di luar perkarangan Ibu Pejabat SPRM di sini, Ahmad Syukri berkata maklumat itu diperoleh menerusi satu pemacu pena (pendrive) yang diserahkan oleh seorang pengadu kepadanya pada 24 September lepas.

Ahmad Syukri mendakwa tawaran itu juga mempunyai kaitan dengan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang berlangsung bermula 5 Ogos lepas sehingga November depan.

Beliau menyerahkan bukti berupa surat aduan pengadu pertama, gambar berkaitan mesyuarat, rakaman suara  serta beberapa lampiran lain dan berharap SPRM dapat melakukan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Rasuah , AMK , SPRM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan