"Boleh cakap English sikit terus nak buka kelas..." - Kemampuan lelaki Melayu cakap Inggeris dipertikai - Berita Semasa | mStar

"Boleh cakap English sikit terus nak buka kelas..." - Kemampuan lelaki Melayu cakap Inggeris dipertikai

Diterbitkan: Isnin, 24 September 2018 5:04 PM

Paparan skrin video berdurasi 2 minit 8 saat yang dimuat naik ke laman Twitter @arepyong sekitar minggu lalu.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Biar pun sekadar mahu berkongsi ilmu sebutan bahasa asing, niat murni seorang pemuda nyata tidak disenangi sebilangan netizen.

Menerusi video yang dimuat naik ke laman Twitter pada minggu lalu, perkongsian Arieff Effendy Yong, 23, menerima kecaman sehingga ada yang mempertikaikan ilmu yang dimilikinya.

Dalam video tersebut, dia berkongsi cara sebutan beberapa jenama fesyen antarabangsa yang sering menjadi kekeliruan masyarakat.

Namun, muncul pula seorang pelayar Twitter yang mempertikaikan penggunaan bahasa Inggeris Arieff dalam videonya dan pertikaian berkenaan turut disokong netizen lain.

"Melayu boleh cakap English sikit terus nak buka kelas cara sebut perkataan, calm your t**s fellas," tulis pengendali akaun berkenaan sehingga menerima lebih 2,000 ulang kicau (retweet).

Seorang pelayar Twitter yang bertindak mengecam video yang dihasilkan Arieff.

Ketika dihubungi mStar Online, Arieff yang pernah tular menerusi video bahasa Inggeris loghat British sekitar 2017 mengakui tidak terkesan dengan respon negatif yang diterimanya.

"Saya percaya yang kita perlu terima ilmu walau sebesar zarah. Jadi bahasa Inggeris tu bukan isu pada saya.

"Tak kurang juga mereka yang bersifat toksik, sentiasa negatif dan menghakimi orang lain, padahal niat saya hanya untuk membantu," ujarnya pada Isnin.

Tambahnya lagi, dia juga tidak serik untuk membuat video perkongsian ilmu selepas ini kerana masih ramai yang berterima kasih di atas apa yang disampaikannya.

Pemuda yang bekerja sebagai kru kabin sebuah syarikat penerbangan itu berkata dia banyak mempelajari cara sebutan bahasa Inggeris menerusi filem dan permainan video.

Malah, dia yang berdarah kacukan Cina juga sejak kecil lagi sudah bertutur dalam bahasa Inggeris ketika bersama ibu-bapanya.

Antara komen-komen negatif yang mempertikaikan penggunaan Bahasa Inggeris pemudaan berkenaan.

"Ada yang cakap tak payah la ajar kalau English pun berterabur. Saya tak akan serik sebab memang nak 'educate' orang. Saya mula buat video perkongsian seperti ini sekitar sebulan lalu.

"Sebabnya saya perasan sesetengah rakyat Malaysia yang lemah dalam bahasa Inggeris dan ada terdengar sebutan perkataan yang tidak betul.

"Untuk mereka yang mengecam, bilalah kita nak maju kalau pemikiran sebegitu sekali, usahlah selubungi hidup dengan perkara negatif," katanya lagi.

Dalam pada itu, video perkongsian Arieff yang berkongsi cara sebutan jenama fesyen Channel, Yves Saint Laurent, Louis Vuitton serta perkataan marijuana sehingga kini dikongsi lebih 7,000 kali oleh pelayar Twitter.

Selain dicemari kritikan bersifat negatif, tidak kurang juga netizen yang berterima kasih dengan perkongsian tersebut dan meminta agar dia terus menghasilkan video seperti itu.

"Perkongsian yang baik. Yang betul kita sokong yang salah kita betulkan. Tak perlu kecam rasanya," tulis @AizuBS.

"Kamu patut hasilkan video sebutan-sebutan jenama lain pula," tulis seorang pengguna Twitter.

Tags / Kata Kunci: Arieff Effendy Yong , Twitter
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan