Kerajaan tumpu pulih jentera pentadbiran, kedudukan kewangan negara - Berita Semasa | mStar

Kerajaan tumpu pulih jentera pentadbiran, kedudukan kewangan negara

Diterbitkan: Isnin, 24 September 2018 8:56 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi perhatian kepada proses pemulihan negara dengan dua tumpuan utama diberikan melibatkan pemulihan jentera pentadbiran yang dirosakkan dan kedudukan kewangan negara yang dibelenggu hutang besar, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada sesi pertemuan dan dialog bersama hampir 200 rakyat Malaysia di United Kingdom pada Ahad, Dr Mahathir berkata kerosakan kewangan negara dan jentera pentadbiran oleh parti pemerintah terdahulu boleh menyebabkan Malaysia hancur jika parti sama kekal menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"(Malaysia) jadi kawasan ditakluk orang lain, kita hilang kuasa di negara sendiri," katanya mengenai kesan kerosakan tersebut, sambil menambah rakyat memberi sokongan kepada PH untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) kerana ia tidak memberi tumpuan kepada kebaikan negara dan pembangunan negara serta masalah rakyat yang tertekan dengan isu kos sara hidup.

Dalam pertemuan yang berlangsung dalam rangka lawatan kerja peringkat pertamanya ke United Kingdom, Dr Mahathir berkata jentera pentadbiran negara dirosakkan sehingga mereka menjadi korup dengan terlibat dengan rasuah daripada peringkat tertinggi hingga rendah.

Beliau juga berkata jentera pentadbiran itu juga memihak kepada parti pemerintah hingga sanggup berkempen secara langsung dan terbuka untuk membantu BN walaupun mereka sepatutnya bersikap berkecuali.

"Kesetiaan mereka bukan kepada pemerintah tetapi pada parti yang memerintah," katanya, sambil menambah ia tidak menepati kehendak perlembagaan negara yang jentera pemerintah seperti polis dan tentera harus patuh pada arahan kerajaan semasa tetapi bukan menepati arahan parti berkuasa.

Mengenai pemulihan kedudukan kewangan negara, Dr Mahathir berkata ia penting untuk dilakukan walaupun sukar dan ia berkemungkinan akan menyebabkan kerajaan menjual aset-aset untuk mendapatkan wang untuk membayar hutang.

Menurutnya, kerajaan terdahulu berhutang kira-kira RM1 trilion dan hutang tersebut perlu dibayar kerana jika tidak dibayar, negara mungkin akan bankrap hingga menimbulkan banyak masalah kepada negara.

"Kita kehilangan wang yang dihutang, kita tidak tahu di mana ia (wang) pergi, jadi kita tidak ada wang untuk bayar hutang," katanya.

Dr Mahathir berkata bajet selalunya akan menjadi defisit kerana wang yang tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan kerajaan untuk pentadbiran dan pembangunan termasuk biasiswa untuk penuntut.

"Banyak lagi yang perlu diperbaiki, kalau diberi masa kita (kerajaan) akan dapat atasi masalah-masalah yang dihadapi," katanya.

Pada sesi dialog yang turut mengutarakan mengenai biasiswa, Dr Mahathir berharap penerima biasiswa dapat mempercepatkan proses pengajian, dengan menjadikan Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein sebagai contoh yang menamatkan pengajiannya dalam bidang undang-undang dalam tempoh dua tahun berbanding tiga tahun kebiasaannya.

"Kalau boleh kurangkan masa supaya boleh balik dan berkhidmat," katanya yang menerima tepukan.

Pada pertemuan yang turut membangkitkan mengenai kereta nasional, Dr Mahathir menjelaskan bahawa pembangunan kereta nasional bukanlah untuk kebanggaan untuk mengadakan kereta nasional tetapi untuk memberi peluang kepada negara terlibat dalam kejuruteraan.

Beliau berkata membina sebuah kereta yang mempunyai 4,000 alat bukan mudah dan bukan sebarang graduan kejuruteraan boleh melakukannya jika mereka tidak praktis aspek kejuruteraan itu.- BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Mahathir Mohamad , Pakatan Harapan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan