PRK PD: Tok Mat cadang Umno tak letak calon - Berita Semasa | mStar

PRK PD: Tok Mat cadang Umno tak letak calon

Diterbitkan: Isnin, 24 September 2018 4:17 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Umno dicadangkan tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini.

Cadangan itu disuarakan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan atas beberapa alasan.

Menurut Mohamad, alasan pertama ialah kerana Umno tidak berkompromi dengan tindakan mengosongkan kerusi secara sengaja semata-mata demi menjayakan cita-cita politik seseorang individu.

“Pilihan raya mempunyai objektif dan mesej moral yang jelas. Ia adalah cara dan komitmen kita dalam menjayakan proses demokrasi yang sihat dan beretika.

“Tindakan mengosongkan kerusi dengan sengaja semata-mata untuk memberikan laluan kepada seseorang mengejar jawatan politiknya sama sekali tersasar dari objektif moral sesuatu pilihanraya.

"Umno menolak sekeras-kerasnya tindakan ‘self centric’ yang mendasari keputusan mengadakan PRK Port Dickson kali ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Selain itu, Mohamad berpandangan Umno mesti memfokuskan kepada usaha melaksana dan merancakkan agenda rejuvenasi parti pasca PRU14.

“Tidak ada agenda yang lebih penting waktu ini, selain dari menjayakan usaha memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan ahli dan rakyat terhadap Umno.

“Melibatkan diri dalam PRK pada waktu ini tidak akan membantu usaha reformasi parti. Malah ia akan mengheret parti ke kancah ‘politiking’ yang menyimpang dari usaha membawa pembaharuan dalam Umno,” katanya.

Alasan ketiga, menurut Mohamad, amat penting untuk Umno melakukan analisis dan kajian mendalam terhadap tahap sokongannya di semua kawasan Parlimen dan DUN di seluruh Malaysia.

“Semakan sebegini akan membolehkan Umno merangka pelbagai strategi jangka pendek dan panjang yang khusus dan strategik kepada kelangsungan Umno.

"Kajian seumpama ini juga akan membolehkan Umno mengurus peranannya dalam landskap Malaysia baru ini secara lebih berkesan,” katanya.

Keputusan sama ada Umno akan bertanding atau tidak dalam PRK Port Dickson akan diumumkan selepas mesyuarat Biro Politiknya petang ini.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat. - Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: Umno , PRK PD
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan