PKR bincang isu kekecohan pemilihan Selasa ini - Berita Semasa | mStar

PKR bincang isu kekecohan pemilihan Selasa ini

Diterbitkan: Isnin, 24 September 2018 7:28 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Semua masalah dan kekecohan yang timbul semasa pemilihan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kedah dan Pulau Pinang akan dibincangkan dengan teliti dalam Mesyuarat Biro Politik parti itu pada Selasa ini.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

"Kita akan bincangkan secara serius maklumat balas yang diterima daripada anggota kita… sekarang jangan buat sebarang spekulasi.

"Sebaiknya kita ambil secara 'bona fide' iaitu dengan niat dan pandangan baik," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Tanglung dan Jualan Amal anjuran Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu dan PKR Ranting Setali di sini, Ahad malam.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Pengerusi Pakatan Harapan Indera Mahkota yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee Chean Chung.

Nurul Izzah mengulas kekecohan yang berlaku semasa pemilihan di beberapa cabang PKR Kedah dan Pulau Pinang semalam.

Kekecohan yang berpunca dari masalah sistem e-undi menyebabkan pemilihan di Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguh ke tarikh lain.

Pada masa yang sama keputusan pemilihan di Kedah juga dibatalkan dan akan diadakan semula pada satu tarikh baharu.

Rentetan kekecohan itu polis turut menahan reman 13 lelaki selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pergaduhan ketika pemilihan PKR Cabang Merbok.
-- BERNAMA

Tags / Kata Kunci: PKR , Nurul Izzah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan