Orang Asli harap kerajaan PH tunai janji - Berita Semasa | mStar

Orang Asli harap kerajaan PH tunai janji

Diterbitkan: Isnin, 24 September 2018 7:41 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) berharap kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) akan memberi komitmen dan menunaikan janji untuk mengembalikan hak tanah adat dan menghormati maruah serta jati diri Orang Asli.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi JKOASM, Tijah Yok Chopil berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan (PH) untuk menyelesaikan perkara itu seperti terkandung dalam manisfesto PH demi membela nasib Orang Asli di negara ini.

“Beberapa perkara yang telah diputuskan oleh kerajaan terdahulu seperti hanya memberi tapak rumah untuk masyarakat Orang Asli hendaklah tidak diteruskan dan perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada komuniti setempat memandangkan setiap komuniti atau suku kaum mempunyai keperluan keluasan tanah yang berbeza mengikut kedudukan dan status mereka.

“Selain itu, kami meminta agar kerajaan mengotakan janji untuk mengiktiraf hak Orang Asli terutama hak tanah, hak penentuan diri, pendidikan dan pembangunan serta keadaan yang selamat,” katanya.

Dalam pada itu, JKOASM turut menuntut supaya hak tanah dan wilayah adat Orang Asli dimasukkan secara jelas dan nyata dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tijah berkata masyarakat Orang Asli tidak seharusnya menunggu lagi untuk penyempurnaan hak–-hak mereka yang selama ini telah diabaikan.

“Inilah masanya, masyarakat Orang Asli adalah sebahagian daripada masyarakat Malaysia, mereka harus dihormati dan diiktiraf,” tambahnya.
-- BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Orang Asli , Tijah Yok Chopil
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan