BN boikot PRK Port Dickson - Berita Semasa | mStar

BN boikot PRK Port Dickson

Diterbitkan: Isnin, 24 September 2018 6:15 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan meletakkan calon pada PRK Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Oktober ini.

Presiden Umno, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan selepas hasil mesyuarat dan perbincangan dengan rakan komponen BN.

"Maka kita telah ambil keputusan setelah Biro Politik Umno mengadakan mesyuarat dan perbincangan bersama rakan komponen khususnya MIC dan MCA, maka kita megambil keputusan bahawa BN akan memboikot PRK Port Dickson ertinya kita tidak letak calon daripada mana-mana calon daripada BN," katanya dalam sidang medianya di PWTC, di sini Isnin.

Jelasnya, secara tradisinya kerusi Parlimen Port Dickson merupakan kerusi MIC.

"Kerusi ini telah diperuntukkan kepada MIC dan kita juga mempunyai parti komponen lain seperti PPP.

"Saya telah mengadakan rundingan dengan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden MIC Tan Sri Vigneswaran Sanasee untuk menyatakan pendirian Umno dan perundingan yang dijalankan adalah untuk menghormati rakan komponen BN, " katanya.

Susulan keputusan itu, kerusi Parlimen Port Dickson sekarang ini menyaksikan hanya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas menyatakan hasrat untuk mencabar calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Zahid berkata tindakan memboikot PRK Port Dickson ini bukan tindakan kali pertama BN.

"Bagi kami tindakan memboikot dalam mana-mana PRK bukan kali pertama perkara sama kita sudah lakukan pada PRK Penanti," katanya

Sementara itu ketika ditanya sama ada Umno akan membantu Pas sekiranya parti Islam itu meletakkan calon pada PRK berkenaan , Zahid menegaskan sebarang rundingan ke arah itu masih tidak dijalankan lagi.

"Kita tidak ada sebarang perundingan secara muktamad... seperti yang berlaku di PRK sungai Kandis, Seri Setia malah di Balakong maka persetujuan itu berdasarkan tuntutan semasa dan keperluan ketika itu," katanya.

Pas sebelum ini menyatakan parti itu tidak akan memberi laluan mudah kepada Anwar untuk memenangi kerusi berkenaan.

Kerusi Port Dickson dikosongkan susulan tindakan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk membolehkan Presiden secara sukarela mengosongkan kerusinya buat Anwar bagi membolehkan beliau diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan kelak. - Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: Umno , Port Dickson
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan