"BN boleh dibubarkan jika Umno teruskan kerjasama dengan PAS" - Presiden MCA - Berita Semasa | mStar

"BN boleh dibubarkan jika Umno teruskan kerjasama dengan PAS" - Presiden MCA

Diterbitkan: Isnin, 24 September 2018 8:05 AM

(Ubah saiz teks)

BENTONG: Barisan Nasional (BN) akan terbubar secara automatik jika Umno membentuk pakatan dengan PAS, ujar Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Saya telah beritahu Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kami menentang kerjasama itu. Gabungan dengan PAS akan menyebabkan timbulnya masalah melibatkan kaum dan agama.

"Saya mendapat jaminan dari beliau bahawa kedua-dua pihak tidak akan membentuk gabungan rasmi sebaliknya hanya bekerjasama dalam isu-isu tertentu. Kami akan tunggu dan lihat," ujarnya sewaktu menghadiri Persidangan Tahunan MCA di sini.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata dalam satu kenyataan bahawa semua Ahli Parlimen Umno telah menandatangani akuan berkanun yang memberi kuasa kepadanya untuk berunding dengan pihak-pihak di luar Barisan.

Liow turut mengulangi bahawa MCA akan meneruskan perjuangan untuk mempromosikan keharmonian kaum dan kesederhanaan di negara ini.

"Ini juga merupakan semangat berbilang kaum dan kesederhanaan dalam Barisan," katanya lagi.

Sementara itu, Liow berkata, kerajaan Pakatan Harapan(PH) perlu memohon maaf kerana gagal memenuhi 10 janji dalam 100 hari mereka menjadi pemerintah.

"Mereka perlu memohon maaf dan tidak mencari alasan atau menyalahkan pentadbiran terdahulu.

"Mereka berjanji memberi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua suri rumah, tetapi tidak semua diberikan. Mereka juga berjanji untuk menghapuskan tol.

"Mereka harus mengakui bahawa mereka tidak dapat memenuhi janji dan memohon maaf." ujarnya.

Mengenai perkara-perkara parti, Liow berkata sudah tiba masanya untuk MCA menghapuskan semua cawangan mereka yang tidak aktif.

"Kita tidak boleh menipu diri sendiri bahawa kita masih mempunyai lebih daripada satu juta ahli. Ini adalah cadangan saya dan saya akan membawanya kepada kepimpinan baharu," katanya lagi.

Tags / Kata Kunci: MCA , Barisan Nasional , Umno
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan