Pemilihan PKR di empat negeri ditangguhkan, Kedah diadakan semula - Berita Semasa | mStar

Pemilihan PKR di empat negeri ditangguhkan, Kedah diadakan semula

Diterbitkan: Ahad, 23 September 2018 9:17 AM

Kekecohan berlaku antara ahli PKR selepas sidang media berkaitan pemilihan parti itu di Pulau Pinang yang diadakan oleh pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR malam Sabtu. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Proses pengundian bagi pemilihan PKR di empat negeri iaitu Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka ditangguh ke tarikh lain yang akan ditentukan kemudian berikutan beberapa masalah yang dihadapi ketika proses pengundian berlangsung di Pulau Pinang dan Kedah pada Sabtu.

Ekoran masalah itu, proses pemilihan di Kedah dibatalkan dan akan diadakan semula pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak, kata Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Ismail Yusop.

Beliau berkata proses pengundian akan bermula pada 30 September di Johor seperti jadual yang ditetapkan JPP, iaitu selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson.

Demikian juga tarikh pengundian bagi Negeri Sembilan dan Melaka.

"Semua proses pengundian yang telah dijalankan di Kedah dibatalkan semuanya. Proses pengundian yang dijadual untuk Perak dan Perlis yang dijadualkan esok (Ahad) juga ditangguhkan. JPP akan menetapkan tarikh-tarikh baharu bagi kesemua cabang di negeri-negeri berkenaan," katanya pada sidang media, di sini malam Sabtu.

Bagi pemilihan PKR di Pulau Pinang, Ismail berkata keputusan pengundian hari ini diterima tanpa perubahan sehingga terdapat bantahan secara bertulis daripada pihak yang tidak berpuas hati.

Katanya JPP akan meneliti semua bantahan itu dan mengadakan perbincangan di peringkat JPP dan kepimpinan PKR sebelum menentukan sama ada keputusan di Pulau Pinang akan dikekalkan atau sebaliknya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: PKR
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan