Pemilihan PKR bermula hari ini - Berita Semasa | mStar

Pemilihan PKR bermula hari ini

Diterbitkan: Sabtu, 22 September 2018 10:07 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemilihan PKR bagi peringkat pusat dan cabang bermula Sabtu dengan menyaksikan ahli parti di Kedah dan Pulau Pinang memulakan pengundian mereka seawal pukul 9 pagi.

Tumpuan pastinya terarah kepada perebutan jawatan timbalan presiden selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden pada penamaan pemilihan 5 Ogos lepas.

Pertarungan jawatan nombor dua parti itu menyaksikan pertembungan antara Ahli Parlimen Gombak yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Selain jawatan tersebut, pengundian itu turut membabitkan pemilihan naib presiden, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat, ketua Wanita pusat dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Pada pemilihan itu juga ahli akan memilih pemimpin di peringkat cabang iaitu ketua cabang, timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan 15 anggota jawatankuasa cabang, selain ketua AMK cabang, timbalan ketua AMK cabang, naib ketua AMK cabang dan 15 ahli jawatankuasa AMK cabang.

Turut dipilih ialah ketua wanita cabang, timbalan ketua wanita cabang, naib ketua wanita cabang dan tujuh ahli jawatankuasa wanita cabang.

Selain itu, pengundian kali ini juga akan menjadi penanda aras kejayaan sistem e-undi yang buat pertama kali dilaksanakan oleh parti itu, bahkan pertama kali di negara ini.

Seramai 800,000 ahli PKR seluruh negara layak mengundi pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung sehingga 28 Oktober depan.

Bagi negeri-negeri lain, pemilihan  akan berlangsung di Perlis dan Perak  pada 23 September, Melaka (29 September), Johor (30 September), Kelantan dan Terengganu (5 Oktober), Pahang (6 Oktober), Wilayah Persekutuan (7 Oktober), Selangor (13, 14, 21 Oktober), Negeri Sembilan (20 Oktober), Sarawak (20, 21 Oktober) dan Sabah (27, 28 Oktober). - Bernama

Tags / Kata Kunci: PKR
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan