Dakwaan Umno tenat tidak tepat - Berita Semasa | mStar

Dakwaan Umno tenat tidak tepat

Diterbitkan: Jumaat, 21 September 2018 7:43 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dakwaan mengatakan Umno kini berada dalam keadaan tenat adalah tidak tepat sama sekali kerana parti itu masih mendapat sokongan kuat di peringkat akar umbi.

Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, dakwaan mengatakan Umno kritikal hanya kerana beberapa pemimpin meninggalkan parti itu dan ia tidak boleh dijadikan kayu ukur.

"Kita (Umno) masih mendapat sokongan kuat daripada ahli di peringkat akar umbi. Pandangan mengatakan Umno dalam keadaan tenat hanya pandangan di lapisan paling atas. Sila turun ke akar Umbi, lihat sendiri sokongan itu," katanya.

Sebelum ini, bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar daripada parti tesebut selepas merasakan hala tuju Umno pada masa ini tidak selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.

Bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pula berkata keputusannya keluar daripada Umno dibuat sebagai memenuhi janjinya kepada pengundi kawasan Parlimen Kimanis dan rakyat Sabah bahawa beliau akan keluar daripada Umno sekiranya BN gagal memenuhi janjinya dalam perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata tanpa Umno dan BN di tampuk kekuasaan, perjuangannya untuk mengembalikan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 itu tidak akan membuahkan hasil.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, individu yang meninggalkan parti tidak perlu menyalahkan parti kerana ia sesuatu yang tidak wajar.

"Semasa mereka dalam Umno dan merasai nikmat parti mengapa tidak tegur kesalahan dan tinggalkan Umno 10 atau 15 tahun lepas. Kenapa selepas Umno kalah baharu bagi alasan sebegitu dan salah parti?" soalnya.

Menyentuh soal pemulihan Umno pasca PRU14, beliau mengakui proses tersebut berlaku begitu lambat dan berpendapat Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunggu Perhimpunan Agung Umno untuk menggariskan hala tuju parti.

"Bagi Veteran Umno, Ahmad Zahid selepas menjadi presiden parti, beliau perlu mengadakan mesyuarat agung khas bagi membincangkan hala tuju parti tetapi mungkin atas faktor kewangan beliau tidak adakan.

"Saya merasakan presiden parti tidak mahu keputusan mengenai hala tuju parti hanya ditentukan oleh pucuk pimpinan tetapi mahu perwakilan Umno berbahas dan melontarkan pandangan. Saya yakin dalam ucapan dasar, Ahmad Zahid akan menggariskan hala tuju Umno," katanya.-Sinar Harian.

Tags / Kata Kunci: Umno , Mustapha Yaakub
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan