Anak nyaris diculik, kelibat lelaki hati kering berpakaian lusuh hantui ibu anak dua - Berita Semasa | mStar

Anak nyaris diculik, kelibat lelaki hati kering berpakaian lusuh hantui ibu anak dua

Diterbitkan: Jumaat, 21 September 2018 7:00 AM

Kak Azie bersama anak bongsunya, Muhammad Adam Darwish. Foto ihsan Nor Azibita Zahar

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Insiden cubaan samun dan culik kanak-kanak berusia tiga tahun di sebuah rumah di Saujana Impian, Kajang di siang hari berjaya digagalkan gara-gara jeritan kuat si ibu, namun detik hitam itu masih terbayang-bayang dalam ingatan.

Malahan, Nor Azibita Zahar, 41, atau lebih mesra disapa Kak Azie mengakui masih lagi trauma susulan kejadian itu.

"Saya masih lagi trauma sehingga hari ini. Dengar bunyi apa pun terkejut-terkejut... dengar bunyi motosikal macam nak berhenti kat depan rumah pun dah takut.

"Wajah lelaki itu masih saya ingat. Dia sempat pandang balik ke arah saya dengan berani tanpa menutup muka sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal selepas terdengar jeritan saya," katanya kepada mStar Online.

Menurut Kak Azie, semasa kejadian, dia berada di rumah bersama anak bongsunya, Muhammad Adam Darwish, apabila terdengar bunyi kuat pagar hadapan dibuka.

"Awalnya saya terdengar bunyi motosikal agak kuat berhenti di hadapan rumah tapi terlindung. Saya jenguk tapi tiada sesiapa. Kemudian terdengar pula bunyi pagar hadapan dibuka bunyi kuat (seperti biasa cara anak bujang bukak pagar).

"Biasanya pagar bermangga mungkin sebab paginya hujan jadi anak cuma selak saja. Saya jenguk dari sliding door masih tak ada nampak sesiapa (masa tu fikirkan anak bujang yang balik).

"Anak bongsu saya memang biasa sambut anak bujang balik jika dengar pagar dibuka, jadi anak bongsu terus meluru ke pintu tapi grill memang berkunci," katanya.

Kak Azie bersama anak sulungnya, Muhammad Ashley Darwish.

Namun tiba-tiba dia dikejutkan dengan kelibat seorang lelaki memakai helmet biru, berbaju kemeja-T biru lusuh, berjeans lusuh dan berkasut sukan berdiri dekat dengan jeriji rumah sambil cuba membuka pintu yang dikunci dan berjaring.

"Waktu itu perasaan memang terlampau takut sebab terkejut sangat-sangat. Tapi nasib baik masih boleh fikir tarik anak jauh dari pintu jeriji dan menjerit," katanya.

Ibu kepada dua anak itu turut bersyukur kerana semasa kejadian pintu jeriji rumahnya berkunci.

"Saya bersyukur sangat kerana pintu grill bermangga, cuma pintu kayu saya tak tutup dan selak sebab sedang menunggu anak (sulung) balik sekolah.

"Nasib juga ada jaring pada grill. Bayangkan kalau tak ada jaring, dia boleh je tarik tangan anak saya dan ugut saya untuk buka mangga grill," katanya.

Menurut Kak Azie, dia tidak menyedari suspek sudah masuk ke perkarangan rumahnya kerana pandangan pintu terlindung dari luar pagar kerana adanya ampaian baju.

"Dia (suspek) berlari ikut laluan tepi tembok bersebelahan ampaian baju sebab itu saya tidak nampak bila masa dia masuk.

"Keadaan itu berlaku dalam beberapa saat, memang cepat tapi kesan yang menakutkan.

"Masa itu Allah je yang tahu, menggigil seluruh badan saya kerana anak-anak saya betul-betul di depan lelaki itu," katanya.

Laporan polis turut dibuat susulan insiden itu.

Lebih mengejutkan Kak Azie berkata dia tidak menduga suspek menjadikan rumah yang ada penghuni sebagai sasaran dan melakukan cubaan menyamun pada waktu puncak.

"Dalam rumah memang kecoh ada suara anak bermain. Betapa beraninya dia datang waktu orang dan kenderaan lain lalu lalang di luar. Dia memang hati kering," katanya.

Susulan insiden itu, Kak Azie yang juga suri rumah berharap agar kawalan keselamatan di kawasan perumahan tersebut diperketatkan.

"Depan rumah saya ada Sekolah Rendah Saujana Impian Kajang, di seberang jalan pula Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian Kajang.

"Orang ramai bebas keluar masuk. Jadi setiap hari ada saja kereta tidak dikenali parking dekat rumah kerana menunggu anak balik sekolah.

"Saya pernah utarakan perkara ini tapi pelbagai alasan diberikan. Jadi saya harap selepas insiden ini ahli jawatankuasa taman perumahan ini akan ambil tindakan segera," katanya sambil menambah kejadian kecurian kerap berlaku di kawasan tersebut.

Tags / Kata Kunci: culik , samun , suri rumah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan