Aliran tunai Felda 'hampir kosong' - Berita Semasa | mStar

Aliran tunai Felda 'hampir kosong'

Diterbitkan: Jumaat, 21 September 2018 8:36 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sewaktu sidang media pertamanya sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata, perkara pertama yang perlu diperbaiki adalah aliran tunai dan mengurangkan pinjaman.

Dia yang juga bekas pengerusi Malayan Banking Bhd (Maybank) menyifatkan wang yang dimiliki Felda kini 'hampir kosong'.

"Satu perkara yang perlu diselesaikan ialah aliran tunai Felda," ujarnya pada Khamis.

Tambahnya, penstrukturan semula pinjaman bernilai RM8 Bilion dan penjualan hartanah di London, Kuching dan Kota Kinabalu juga boleh memperbaiki aliran tunai dalam jangka masa pendek.

Malah, jual beli minyak sawit mentah (CPO) yang rendah turut menyumbang kepada kekurangan aliran tunai Felda, katanya.

Secara keseluruhan, dia menyasarkan untuk memperbaiki Felda dalam tempoh 2 tahun yang disifatkannya sebagai satu tugas sukar.

Untuk tahun ini dia menyasarkan untuk mengurangkan pinjaman Felda dari RM8.05 bilion kepada RM6.5 bilion dengan menjual semula hartanah yang dimiliki.

Aset tersebut termasuklah hotel, apartmen, asrama pelajar yang memakan kos sehingga RM2.2 bilion.

"Felda sudah memulakan proses penjualan sejak tahun lalu dan berharap kami dapat duit semula,: katanya.

Dia dilantik memegang jawatan itu pada 27 Julai lalu menggantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang meletak jawatan pada 14 Mei.

Tags / Kata Kunci: Felda
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan