Tok Pa mengaku dipanggil polis - Berita Semasa | mStar

Tok Pa mengaku dipanggil polis

Diterbitkan: Khamis, 20 September 2018 10:30 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengaku dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dana yang diterima Badan Perhubungan Umno Kelantan yang disyaki ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang mengumumkan keluar Umno pada Selasa lalu berkata, beberapa wakil Umno Kelantan juga turut dipanggil.

“Saya ingin menjelaskan dakwaan Tan Sri Annuar Musa (Setiausaha Agung Umno) bahawa saya dan beberapa wakil Badan Perhubungan Umno Kelantan telah dipanggil oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai dana yang diterima Badan Perhubungan Umno Kelantan.

“Saya hadir membantu siasatan tersebut atas kapasiti sebagai bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, malam Khamis.

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, PDRM telah menjalankan tugas mereka secara profesional dan cukup tertib.

“Saya menghormati keluhuran undang-undang. Walaupun tidak lagi bersama Umno, saya akan terus memberi kerjasama sepenuhnya dalam hal ini sekiranya diperlukan,” katanya.

Terdahulu, Annuar mendedahkan Mustapa disoal siasat PDRM berhubung penerimaan sejumlah dana dari pihak tertentu.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat dan sidang media berhubung penganjuran Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur, Khamis.

Tags / Kata Kunci: Tok Pa , Umno
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan